
SIAPA TUN SERI LANANG ??
Tun
Sri Lanang
Latar Belakang
Tun
Sri Lanang adalah nama timang-timangan yang diberikan kepada Tun Muhammad, anak
Tun Ahmad Paduka Raja yang merupakan seorang Bendahara Kerajaan Johor pada
kurun ke-17 Masihi. Beliau telah dilahirkan di Bukit Seluyut, Batu Sawar, Johor
pada tahun 1565. Beliau adalah Bendahara Johor pada ketika itu dan
setelah Johor kalah dalam peperangan dengan Aceh yang pada ketika itu
diperintah oleh Sultan Iskandar Muda Aceh. Beliau kemudiannya telah dibawa ke
Aceh pada tahun 1613 dan telah menetap di negeri Samalanga. Pada ketika itu,
ramai bangsawan dan rakyat Johor yang mengikut beliau ke Aceh dan dikatakan
seramai ribuan orang yang mengikut beliau ke sana. Sultan Iskandar Muda telah
melantik beliau sebagai penasihat utama Baginda dan diberi delaran ‘Orang Kaya
Datuk Bendahara Seri Paduka Tun Seberang’. Beliau telah mendirikan pusat
penyebaran agama Islam dan pendidikan terutamanya di negeri-negeri pesisir
timur Aceh. Beliau kemudiannya telah di angkat menjadi raja di negeri Samalanga
pada tahun 1615. Beliau telah mangkat pada tahun 1659 di Lancok dan telah
dimakamkan di sana. Pada waktu itu, beliau telah berjaya menjadikan negeri
Samalanga sebagai sebuah pusat penyebaran agama Islam di timur Aceh dan
sehingga kini pun kawasan tersebut masih lagi menjadi tumpuan bagi sesiapa
sahaja yang ingin mendalami ilmu agama.
Tun
Sri Lanang sangat dikenali oleh kerana karyanya iaitu Sulalatus Salatin
(Sejarah Melayu)yang merangkumi pelbagai sejarah masyarakat Melayu, Jawa,
Brunei, Patani dan Campa. Kebenaran tentang beliau sebagai penulis asal atau
sekadar penyunting kitab tersebut tidak dapat dipastikan dengan tepat. Namun
menurut Syeikh Nuruddin al-Raniri dalam susunan Suzana Othman, 2008telah
memperakukan Tun Sri Lanang sebagai pengarang dan penyusun Sulalatus
Salatin kerana beliau kenal rapat dengan Tun Sri Lanang. Kitab tersebut
telah dapat disiapkan penulisan dan penyuntingannya oleh Tun Sri Lanang dalam
masa dua tahun iaitu pada tahun 1614 selepas tarikh penulisannya yang dimulai
pada tahun 1612 Masihi. Sulalatus Salatin adalah diperakui sebagai
satu sumber terkaya dan lengkap yang menceritakan tentang sejarah bangsa-bangsa
di Nusantara.
Mengarang Sejarah Melayu
Tun
Sri Lanang mula mengarang karya Sulalatus Salatin bermula pada tahun
1612 dan lebih terkenal sebagai pengarang dan penyusun Sejarah Melayu di
samping jawatannya sebagai Bendahara Kerajaan Johor. Beliau disifatkan sebagai
seorang yang kreatif, berpengetahuan luas dalam aspek penggunaan gaya bahasa
dan penulisan, peraturan dan adat istiadat Melayu. Karya terunggul beliau ini
berkait rapat dengan Sejarah Kesultanan Melayu Melaka dan karya tersebut
seringkali dijadikan rujukan sejarah bagi mengkaji peradaban Tamadun Islam
Beraja. Karya Sulalatus Salatin yang merangkumi pelbagai aspek
penceritaan menjadikan ianya sebagai sumber rujukan utama tentang kebudayaan
dan ketamadunan masyarakat Melayu awal.
Karya
ini juga dianggap sebagai karya yang begitu indah dan menarik dari segi gaya
bahasa dan persuratannya. Kandungannya yang meliputi unsur kelucuan, kebijaksanaan,
sindiran, perlambangan, peribahasa, bidalan, pantun seloka, dan gurindam yang
dikarang dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Melayu, Arab, Jawa dan lain-lain
dengan begitu teliti dan kemas. Namun, ia juga tidak terlepas daripada ‘Polemik
Sejarah’ kerana naskhah tersebut didakwa bukan naskhah asal karangan Tun Sri
Lanang tetapi kandungannya adalah daripada Hikayat Melayu yang
diberikan oleh Tun Bambang Sri Narawangsa, anak Sri Askar Raja, Patani. Hikayat
itu dikatakan telah dikarang dan disusun semula oleh Tun Sri Lanang atas titah
Raja Abdullah, iaitu adinda Sultan Alauddin Riayat Shah III yang akhirnya
menjadi Sulalatus Salatin. Sejarah penting berkaitan arahan dan galakan
oleh Raja Abdullah kepada Tun Sri Lanang untuk menulis dan mengarang tentang Sejarah
Melayu ada tercatat dalam kitab tersebut sebagai mukadimahnya. Dengan titah
Raja Abdullah tersebut, dapat disimpulkan bahawa penulisan kitab Sulalatus
Salatin telah dimulakan pada 12 Rabiul Awal 1021 Hijrah bersamaan Mei 1612
ketika itu Sultan Alauddin Riayat Shah III bersemayam di Pasir Raja.
Karya Sulalatus
Salatin ini juga cuba dinafikan oleh sesetengah pihak tentang penulis
sebenarnya termasuk seorang penulis barat iaitu R. O. Winstedt. Namun, pendapat
beliau di bantah oleh ramai sarjana tempatan dan luar Negara. Menurut Teuku
Iskandar dalam bukunya Kesusasteraan Melayu Klasik Sepanjang Abad berkata
bahawa Tun Sri Lanang bukan penulis asal Sulalatus Salatin. Walaupun
begitu, menurut beliau berdasarkan penyelidikan-penyelidikan yang dibuat
menunjukkan bahawa penyalin naskhah Melayu itu bukanlah penyalin dalam erti
kata yang sebenarnya seperti mana yang berlaku di Bali. Penyalin juga boleh
dianggap pengarang kerana banyak memperbaiki kesalahan dan menambah sebarang
kekurangan dalam karya, mengurangkan apa yang dirasakan lebih, serta mengubah
struktur dan gaya bahasa karya asal bersesuaian dengan keadaan pada zaman itu.
Jika dilihat semula pada mukadimah yang ditulis oleh Tun Sri Lanang
dalam kitab Sulalatus Salatin, Teuku Iskandar berpendapat bahawa Tun Sri
Lanang bukan sekadar penyalin bahkan merupakan penulis asal karya tersebut.
Syeikh
Nuruddin al-Raniri juga turut menjadikan Sejarah Melayu sebagai rujukan utama
dalam penulisan karyanya iaitu Bustanatus Salatin (Taman Raja-raja) yang
ditulis pada tahun 1637-1641. Beliau merupakan seorang ulama, penulis terkenal
di Nusantara dan juga sahabat akrab Tun Sri Lanang, turut memetik banyak
perkara daripada Sejarah Melayu, Bab II fasal 12 yang berbunyi seperti
berikut:
“Kata
Bendahara Paduka Raja Tun Sri Lanang yang mengarang kitab misrat Sulalatus
Salatin, ia mendengar daripada bapanya, ia mendengar daripada nenek dan
datuknya, tatkala ada hijrat al Nabi SAW seribu dua puluh esa, pada bulan
Rabiul Awal pada hari ahad, a mengarang hikayat pada menyatakan segala
raja-raja kerajaan di negeri Melaka, johor, Pahang dan meyatakan bangsa dan
salasilah mereka itu daripada Sultan Iskandar Zulkarnain…”
Pendapat
itu juga disokong oleh penulis buku Sejarah Johor, Buyong Adil yang
menyatakan:
“Tun
Sri Lanang selalu berguru daripada ulama terkenal di Aceh seperti Nuruddin
al-Raniri, Tun Aceh, Tun Burhat, Hamzah Fansuri, Syeikh Syamsuddin
al-Sumaterani. Dengan itu, Syeikh Nuruddin al-Raniri tentu amat mengenali Tun
Sri Lanang”.
Abdul
Samad Ahmad juga dalam Sulalatus Salatin versi beliau, turut
membangkang pendapat R. O. Winstedt dengan hujah-hujah yang kukuh. Beliau
berasa hairan dengan Winstedt yang beria-ia menafikan Tun Sri Lanang sebagai
penulis dan penyusun Sulalatus Salatin sedangkan Winstedt sendiri ada
menyatakan dalam mukadimah edisinya yang berbunyi:
“…Demikian
bunyinya titah Yang Maha Mulia itu, bahawa hamba minta diperbuatkan hikayat
pada Bendahara, peraturan segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya…..Bendahara
yang disebutkan itu tentunya bukan Tun Bambang….”
Beliau
juga menambah, Tun Sri Lanang menulis karya tersebut untuk menggembirakan
rajanya , setelah memohon petunjuk daripada Allah SWT dan Syafaat daripada Nabi
Muhammad SAW. Maka bermulalah penulisan Sulalatus Salatin atau “Pertuturan
Segala Raja-raja” berdasarkan apa yang diceritakan oleh ayahnda datuknya.
Oleh itu, sudah tentu karya tersebut dikarang dengan penuh teliti dan
berhati-hati oleh Tun Sri Lanang dan padanya karya itu cukup sempurna dari
aspek sasteranya.
Tengku
Iskandar dan A. Samad Ahmad juga berpendapat bahawa bukan perkara luar biasa
jika seorang Bendahara dapat mengarang hikayat, jika dilihat semula nendanya
Tun Isap Misai pernah menulis Hikayat Anak Panah Sedasa. Malah ketokohan
dalam bidang penulisan ini juga diwarisi oleh zuriat Tun Sri Lanang contohnya
daripada pujangga Riau seperti Raja Ali Haji. Tun Sri Lanang mula menumpukan
perhatian dalam pengkajian hasil-hasil kesusasteraan Aceh selepas perang di
Batu Sawar pada tahun 1613 apabila beliau ditawan oleh Sultan Alauddin Riayat
Shah III dan dibawa ke Aceh. Oleh sebab itu, beliau mempunyai masa yang panjang
untuk mengkaji dan menelaah hasil-hasil karya tersebut.
Pada
ketika itu juga terdapat beberapa penulis masyhur Aceh seperti Syeikh
Shamsuddin Pasai, Hamzah Fansuri, Bukhari al-Jauhari dan Nuruddin al-Raniri.
Persamaan zaman antara Tun Sri Lanang dengan pengarang-pengarang hebat ini
dapat dikatakan kemungkinan besar mereka sempat bertukar maklumat dan pendapat
antara satu sama lain yang mungkin sedikit sebanyak turut mempengaruhi
penulisan beliau. Melihat kepada bukti-bukti tersebut, dapat ditegaskan bahawa
Tun Sri Lanang adalah pengarang dan penyusun Sulalatus Salatin dan
karya ini seharusnya diiktiraf sebagai karya asal tulisan Tun Sri Lanang dan
beliau bukan sekadar penyalin semata-mata. Sungguhpun teks Hikayat Melayu diambil
sebahagian daripada kandungannya, namun rujukan bahan, sumber-sumber primer,
serta cerita-cerita lisan yang didengar daripada datuk neneknya dan daripada
pengalamannya sendiri yang disusun dan digarap mengikut gaya bahasa yang
tersendiri dalam pelbagai aspek sastera cukup untuk menjadikan beliau digelar
pengarang Sulalatus Salatin yang asli.
Tun
Sri Lanang seperti yang dikenali adalah seorang sasterawan Melayu yang terkenal
pada zaman kesultanan Melayu bersama karya agungnya iaitu Sulalatus
Salatin atau Sejarah Melayu. Beliau adalah orang yang
bertanggungjawab mengarang dan meyusun kembali Hikayat Melayu di atas titah
Raja Abdullah pada tahun 1612 dan berjaya menyiapkannya pada tahun 1612.
Kepengarangan beliau tidak dapat disangkal lagi dengan wujudnya pelbagai
fakta-fakta dan bukti-bukti yang menyokong keaslian dan ketulenan beliau
sebagai penulis asal kitab Sulalatus Salatin ini. Kebijaksanaan dan
kepintaran beliau dalam ilmu mengarang jelas terpancar dalam karyanya apabila
beliau berjaya menyampaikan mesej dan pengajaran melalui kata-kata yang
tersusun indah dalam bait-baitnya serta imaginasi lakaran peristiwa yang
dilukis indah dalam kitab tersebut. Maka beliau tidak seharusnya dianggap hanya
sebagai penyalin Hikayat Melayu bahkan sebagai orang yang mengarang,
menulis, memperbaiki dan mempertingkatkan mutu karya awal sehingga terhasilnya
karya agung dalam catatan sejarah Melayu yang dikenali umum dengan nama Sulalatus
Salatin. Dengan itu terserlahlah ilmu kepengarangan dan persuratan Tun Sri
Lanang dalam memartabatkan sejarah kegemilangan masyarakat Melayu seperti yang
tercatat dalam karya agungnya itu.
Rujukan
Amad
Bahri Mardi, Tun Sri Lanang Tokoh Persuratan Melayu: Koleksi Esei Sejarah.
Johor Bahru: Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Johor.
Amad
Bahri Mardi, Tun Sri Lanang Pengarang atau Penyalin Sejarah Melayu?. Keratan
Akhbar Mingguan Wasilah 17-23 Ogos 2008.
Muhammad
Haji Salleh, Risalah Tun Sri Lanang.
Prof.
Dr. Siti Hawa Haji Salleh, Kepengarangan Tun Sri Lanang.
No comments:
Post a Comment