PERISTIWA MENARIK PADA SETIAP BAB
Menjunjung Titah Raja.
Pada
12 Rabiul awal tahun 1221H, Tun Muhamad @ Tun Seri Lanang, Bendahara Paduka
raja telah diperintahkan oleh Sultan Abdullah Ma’ayah Syah, Yang Dipertuan Di
Hilir supaya mengarang sebuah buku mengenai kisah raja-raja Melayu dan
istiadatnya supaya dapat diingat dan diambil faedah daripadanya. Kitab ini
dinamai Sulalatus salatin yang bermaksud “Pertuturan segala raja-raja”. Namun
lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu.
Penaklukan Iskandar Zulkarnain.
Raja
Iskandar Zulkarnain, berkerajaan di Makaduniah, Rom telah berusaha meluaskan
tanah jajahannya ke arah timur, arah matahari terbit. Baginda berjaya sampai ke
Benua Hindi dan mengalahkan Raja Kida Hindi.
Perkahwinan Puteri Syahrul Bariyah
Iskandar
Zulkarnain telah mengahwini Puteri Syahrul Bariyah. Perkahwinannya diakadkan
oleh Nabi Khidir dengan mas kahwin sebanyak 300 ribu dinar emas. Setelah kahwin
Iskandar Zulkarnain telah meneruskan pengembaraan untuk melihat matahari
terbit. Dalam perjalanan pulang baginda singgah untuk mengambil isterinya
pulang ke Rom tetapi diminta tinggalkan oleh Raja Kida Hindi. Jadi Puteri
Syahrul Bariyah ditinggalkan di negeri Kida Hindi.
Zuriat Iskandar Zulkarnain.
Puteri
Syahrul Bariyah melahirkan seorang anak bernama Aristun Syah, hasil
perkahwinannya dengan Iskandar Zulkarnain. Aristun Syah menggantikan datuknya
Raja Kida Hindi memerintah kerajaan selama 355 tahun.
Perjalanan hendak menakluk negeri Cina.
Dari
keturunan Iskandar Zulkarnain itu juga lahirlah Raja Suran. Beliau
menakluki semua negara kecuali negara Cina, jadi baginda mahu menakluk pula
negara Cina. Dalam perjalanan itu, baginda sempat menawan negara Gangga Negara.
Raja Gangga Syah Johan dikalahkan dan saudara perempuan raja yang bernama
Puteri Dara Segangga dikahwini. Raja Suran juga mengalahkan negeri Langgiu, di
hulu Sungai Johor. Rajanya bernama Raja Chulan berjaya di bunuh. Anak
Raja Chulan iaitu Puteri Onang Kiu telah dikahwininya. Baginda
meneruskan perjalanan hinggalah sampai ke Temasik.
Usaha
Raja Suran untuk menyerang Cina telah diketahui oleh Raja Cina. Baginda
menghantar satu rombongan untuk menipu raja Suran. Negara Cina dinyatakan
sangat jauh dari Temasik. Untuk sampai ke negara Cina seorang yang berumur 12
tahun akan menjadi tua, hingga gugurlah giginya. Besi sebesar lengan akan haus
menjadi seperti sepucuk jarum sahaja. Pepohon yang dimakan kiranya ditanam akan
berbuah. Mendengar tipu muslihat itu Raja Suran membatalkan hasratnya untuk
menyerang negara Cina.
Hendak mengetahui isi laut.
Raja
Suran masuk ke dalam laut dengan menggunakan peti kaca yang berpesawat. Baginda
tiba di negeri Dika. Kaumnya berbangsa Bu Sum. Setengah Islam dan setengah
kafir. Kaum itu kehairanan melihat Raja Suran.
Bab 2
Kisah
bermula di Bukit Si Guntang.
Tiga
orang anak Raja Suran telah naik ke bumi dan turun di Bukit Si Guntang dengan
menaiki seekor lembu jantan berwarna putih. Kedatangan mereka ditemui oleh Wan
Empuk dan Wan Malini. Mereka telah melihat puncak bukit bercahaya terang pada
malam itu. Tanahnya berubah menjadi warna keemasan. Pohon padi berbuahkan emas,
berdaunkan perak dan berbatangkan suasa. Ketiga-tiga mereka dijemput oleh
Demang Lebar Daun ke istana Palembang. Setibanya di Palembang, lembu kenaikan
mereka memuntahkan buih dan terdapat seorang lelaki di dalamnya yang dinamai
Batala.
Asal raja Minangkabau dan Tanjung Pura.
Raja
Minangkabau iaitu Patih Suatang telah datang ke Palembang memohon seorang anak
raja Suran itu untuk dirajakan di Minangkabau. Untuk itu Nila Pahlawan atau
Sang Si Perba dihantar ke sana. Penduduk Tanjung Pura pula datang dan Krisyna
Pandita pula dihantar. Nila Utama pula dirajakan di Palembang dan bergelar Seri
Teri Buana.
Seri
Teri Buana mahu beristeri. Malangnya semua anak raja yang ditidurinya mendapat
penyakit kedal. Sehingga habislah anak-anak raja yang baik dalam negeri
Palembang itu. STB telah mendapat tahu akan kecantikan Radin Ratna Cendera Puri
anakanda Demang Lebar daun dan ingin mengahwininya.
Membunuh Ular Sakti Mona.
Penduduk
di Minangkabau mahu menguji kesaktian Sang Si Perba dengan meminta baginda
membunuh ular Sakti Mona. SSP telah meminjamkan curiknya yang bernama curik Si
Mandang Kini kepada seorang hulubalang bernama Permasku Mambang. Beliau berjaya
membunuh ular tersebut. Namun curik itu sendiri sumbing 190. Bagindapun
kekallah berkerajaan di Minangkabau.
Tajitram
Syah iaitu salah seorang dari keturunan Raja Suran yang telah keluar istana
untuk membina empayarnya sendiri telah dilanggar ribut di tengah laut.
Angkatannya musnah dan dia sendiri terdampar di Belambang Majut (Bangkahulu).
Tanah Andalas, sebelah Laut Selbu. Dia dijumpai oleh Demang Kebayunan dan
dikahwinkan dengan anaknya yang bernama Raden Sendari. Mendapat 4 orang anak, 2
lelaki dan 2 perempuan. Ratna Dewi, Seri Dewi, Maniaka dan Nila Karna. Seri
Dewi dikahwini putera dari Cina dan Ratna Dewi oleh putera ratu Majapahit.
Berita kehadiran Tajitram Syah terdengar ke India dan para menteri dalam
kerajaan Canda Kani telah datang menjemputnya balik ke Benua Keling itu.
Mencari tempat baru untuk berbuat negeri.
Seri
Teri Buana telah keluar dari Palembang untuk membuka negeri baru. Selepas
melewati Gunung Lingga, angkatannya telah kehabisan air minuman. Untuk
mendapatkan air tawar, STB telah menyuruh mencampakkan gulungan rotan ke laut
dan dia sendiri mencelupkan kakinya ke dalam air laut di tengah gelungan rotan
itu. Air laut telah menjadi tawar dan tempat itu dinamakan Selat Air
Tawar. Sesampai STB di Tanjung Bintan, baginda telah dijemput oleh
Wan Seri Beni ke istana dan Raden Ratna Cendara Puri dibawa ke istana bondanya
iaitu Puteri Iskandar Syah.
Jadi Anak angkat raja perempuan Bintan.
Wan
Seri Beni memerintah Bintan dengan dibantu oleh Menteri Bupala dan Aria Bupala.
Wan Seri Beni sangat berkenan memandang STB dan RRCP. Kepada STB diserahkan
kerajaannya dan STB dijadikan anak angkatnya. Seri Teri Buana
menjadi raja selama 2 tahun di Bintan itu.
STB
meneruskan semula perjalananya. Dia bertolak ke Bengkilau dan berburu hingga ke
Tanjung Sengkuang. Di sini anjng pemburuan baginda telah terjun ke laut
dihambat oleh pelanduk putih. STB telah memerintahkan tempat itu ditebas untuk
dibuka negeri. Bagaimanapun dari situ dia terpadang pula pantai Temasik dan
ingin pula ke sana.
Temasik dijumpai.
Sesampai
di Teluk Belanga, angkatan baginda dilanda oleh ribut. Semua harta telah
dibuang ke laut. Untuk meredakan ribut STB telah meletakkan mahkota baginda ke
permukaan air laut. Lalu ributpun teduh. Di atas bukit di pulau Temasik STB
telah terpandangkan seekur singa. Bagaimanapun singa itu ghaib apabila
terpandangkan orang ramai. STB mengubah nama pulau itu dari Temasik ke
Singapura dan mahu kerajaannya dibuka di situ. Wan Seri Beni menabalkan STB di
situ. Pemerintahan Bintan di serahkan kepada anak Menteri Bupala yang bergelar
Tun Telanai.
Bab 3
Puteri Nila Pancadi ke Singapura.
Seri
Teri Buana mempunyai 2 orang anak iaitu Raja Kecil Besar dan Raja Kecil Muda.
STB telah menghantar menteri Aria Bupala ke benua keling meminang Puteri Nila
Pancadi. Raja Jambuga Rama Mudaliar telah menerima pinangan itu, bahkan
menghantar puterinya untuk dikahwini oleh Raja Kecil Besar ke Singapura. Raja
Kecil Muda pula dikahwinkan dengan cucu saudara Demang Lebar Daun iaitu Raden
Lasmi Puri.
Raja dan Bendahara adik beradik.
Selepas
Seri Teri Buana mati ia ditanam di Bukit Singapura, Raja Kecil Besar dijadikan
Raja bergelar Paduka Seri Pikrama Wira. Raja Kecil Muda dijadikan Bendahara
bergelar Tun Perpatih Permuka Berjajar. Cucu Demang Lebar Daun
dijadikan perdana menteri bergelar Tun Perpatih Pemuka
Jegalar. Penghulu Bendahari bergelar Tun Jana Buga Dendang.
Hulubalang Besar pula ialah Tun Tempurung. RKB telah memperolehi seorang putera
bergelar Raja Muda.
Badang beroleh gagah.
Badang
adalah seorang hamba kepada seorang perempuan yang tinggal di Sayung. Ikan yang
terperangkap di lukah yang ditahannya telah dimakan oleh hantu. Hantu itu
ditangkap dan mahu dibunuh. Untuk mengelakkan dirinya dibunuh dia berjanji akan
menunaikan segala hajat Badang. Badang mohon kepada hantu supaya dia menjadi
gagah. Untuk itu hantu meminta Badang memakan muntahnya. Selepas makan muntah
hantu itu Badang telah menjadi sangat gagah.
Pohon
kayu sebesar dua tiga pemeluk dapat dicabutnya. Hutan yang luas dapat
dibersihkan dengan sekejap sahaja. Dengan kekuatan Badang, tuannya menjadi kaya
raya dan diberi gelar Orang Kaya Sayung. Badang telah dibebaskan. Dia dijadikan
Sandim Sani oleh Seri Rakna Wikrama di Singapura. Kekuatan Badang dapat
dilihat dari beberapa peristiwa. Kayu pengayuh perahunya adalah kayu kempas
sebesar sepemeluk. Selepas tujuh kali berkayuh kayu itu patah. Semasa memanjat
pohon kuras, dia terjatuh. Kepalanya terhempas ke batu dan menyebabkan batu
menjadi pecah. Badang dapat menyorong pilang yang panjang lima belas dengan
seorang diri. Sedangkan orang lain seramai empat lima ratus tidak mampu
melakukannya.
Kegagahan Badang diuji.
Raja
di Benua Keling telah menghantar pahlawan yang tergagah untuk menandingi
kegagahan Badang. Pahlawan itu bernama Nadi Bija Biakra. Taruhannya ialah
barangan tujuh kapal. Dalam pertandingan itu mereka disuruh bergusti. Badang
berjaya menewaskan Nadi Bija Biakra itu. Mereka juga bertanding mengangkat
batu. NBB hanya terdaya mengangkat separas lutut. Oleh Badang batu itu
diangkat, dilambung-lambung dan dilontarkannya hingga ke kuala.
Raja
Perlak pula telah menghantar pahlawannya yang bernama Benderang untuk
mengalahkan Badang. Sebelum pertandingan diadakan Badang terlebih dahulu
meminta untuk menguji Benderang dalam majlis makan malam. Badang telah menindih
peha Benderang dan Benderang tidak mampu mengangkatnya. Badang pula berjaya
mengangkat pehanya bila disesak oleh Benderang.
Keesukan
harinya Tun Perpatih Pandak selaku ketua rombongan Perlak telah meminta supaya
pertandingan itu tidak diteruskan. Kerana bimbang ianya akan menyebabkan
hubungan Singapura dan Perlak menjadi rosak. Sebenarnya dia takut Benderang
dikalahkan. Bagaimanapun mereka telah disuruh merentangkan rantai
yang sangat besar di belakang Siram supaya kapal tidak dapat lalu.
Tidak
lama kemudian Badang telah mati dan ditanamkan di Buru. Batu Nisannya
dikirimkan oleh Raja Benua Keling. Bila Paduka Seri Wikrama
meninggal dunia, dia digantikan oleh anaknya yang bernama Damia Raja dan
bergelar Paduka Seri Maharaja. Dia berkahwin dengan Damia Puteri anak Tun
Perpatih Permuka Berjajar. Dari perkahwinan itu lahirlah pula Raja Iskandar
Syah.
Mula kedatangan Islam ke alam Melayu.
Merah
Silu dan Merah Caga tinggal di Gunung Sengkuang. Merah Silu kerjanya menahan
lukah tetapi asyik terkena cacing gelang sahaja. Kerana terlalu marah cacing
itu direbus. Nasibnya baik, cacing gelang telah bertukar menjadi emas dan
buihnya menjadi perak. Bila Merah Caga mendengar adiknya dikatakan
makan cacing gelang, dia mahu membunuh saudaranya itu. Merah Silu melarikan
dirinya ke Rimba Jurun.
Satu
hari Merah Silu pergi berburu. Anjingnya Si Pasai telah menemui seekur semut
besar. Semut besar itu telah ditangkap oleh Merah Silu dan dimakannya. Tempat
itu dibersihkan dan dinamakan Semudra yang beerti semut besar. Negeri Semudra
itu telah terkenal hingga ke Mekah. Syarif Mekah telah memerintahkan seorang
nakhoda bernama Sheikh Ismail ke Semudra. Dia disuruh singgah di negeri
Mu’tabari untuk mengambil seorang fakir. Sultan Muhamad iaitu Raja Mu’tabari
telah turun dari takhta dan mengikut rombongan itu ke negeri Semudra. Sultan
Muhammad adalah keturunan dari Abu Bakar al-Siddik r.a.
Sebelum
sampai ke Semudra, kapal Sheikh Ismail telah singgah di Fansuri, Lamiri, Haru
dan Perlak. Kesemua penduduk di situ telah memeluk agama Islam tetapi tidak ada
yang pandai membaca Qur’an. Merah Silu juga telah memeluk Islam di tangan fakir
Sultan Muhammad itu. Malamnya Merah Silu telah bermimpi berjumpa Rasulullah.
Rasulullah telah meludah ke dalam mulut Merah Silu. Badan Merah Silu menjadi
harum dan dia dapat membaca al-Qur’an. Sheikh Ismail telah menabalkan Merah
Silu dan namanya ditukar menjadi Sultan Malikul Salleh.
Sultan
Malikul Salleh telah berkahwin dengan Puteri Ganggang, anak raja Perlak. Dia
mendapat dua orang anak yang diberi nama Sultan Malikul Tahir dan Sultan
Malikul Mansur.Sultan Malikul Salleh telah keluar untuk mencari tempat baru
untuk dibuat kerajaan bagi anaknya. Anjing pemburuannya telah menyalak di satu
tanah tinggi. Tempat itu dipandang cantik oleh Sultan Malikul Salleh. Ianya
ditebas dan diberi nama Pasai sempena nama anjing pemburuan baginda. Sultan
Malikul Tahir dirajakan di Pasai itu dengan menterinya bernama Sidi Ali
Ghiathu’d Din sebagai mangkubumi. Sultan Malikul Mansur pula
dirajakan di Samudra dengan menterinya Sidi Ali Yaumid’d Din.
Sebelum
meninggal dunia, Sultan Malikul Saleh sempat berwasiat kepada kedua anak dan
menteri-menterinya supaya jangan tamak harta orang, jangan inginkan isteri
hamba kamu dan hendaklah hidup bermuafakat.
Raja Pasai Ditipu Dan Ditawan.
Raja
Syahrun Nuwi dengkikan kebesaran kerajaan Pasai. Dia memerintahkan pahlawannya
yang bernama Awi Dicu untuk pergi dan menangkap rajanya iaitu Sultan Malikul
Tahir. Dengan menggunakan tipu helah, Sultan Malikul Tahir telah berjaya
ditangkap dan dibawa ke Siam. Dia dijadikan gembala ayam di istana.
Sidi
Ali Ghiathu’d Din telah menyamar menjadi saudagar Arab dan telah pergi ke
negeri Syahrun Nuwi itu. Dia telah memberikan berbagai hadiah kepada raja Syahrun
Nuwi. Antaranya ialah sepohon pohon kayu emas dan buahnya dari permata. Papan
catur emas, buahnya permata merah dan hijau. Sepasang itik emas yang boleh
berenangan di dalam air. Kerana termakan dengan rasuah berkenaan Sultan Malikul
Tahirpun dibebaskan.
Peristiwa Kerana Seorang Dayang.
Sultan
Malikul Mansur ingin pergi melawat abangnya di Pasai. Keinginannya itu ditegah
oleh menteri Sidi Asma’ Yaudi’d Din. Bagaimanapun baginda pergi juga. Semasa di
Pasai dia telah membawa pulang seorang dayang Sultan Malikul Tahir.
Perbuatannya itu menimbulkan kemarahan Sultan Malikul Tahir.
Sultan
Malikul Tahir telah menjemput saudaranya itu untuk majlis berkhatan. Di sana
menteri Sidi Asma’ Yaumiddin dibunuh dan di sula di Pasai. Kepalanya
dibuang ke laut. Kepala menteri itu dijumpai oleh Sultan Malikul
Mansur di laut Padang Maya semasa baginda hendak dibuang ke Manjung. SMM
memohon badan menterinya dikembalikan dan mayatnya ditanam di Padang Maya.
Selepas
3 tahun, SM Tahir telah menyesal di atas perbuatannya itu dan menjemput
saudaranya SM Mansur kembali. Dalam perjalanan pulang, SM Mansur singgah di
Padang Maya dan kemudiannya meninggal dunia di situ.
BAB 4
SINGAPURA DILANGGAR TODAK.
Tuan
Jana Khatib seorang yang mahir ilmu khayal lillah telah datang ke Singapura.
Dia telah menilik sebatang pohon pinang sehingga terbelah dua. Perbuatannya itu
menimbulkan kemarahan Paduka Seri Maharaja. Katanya Tuan Jana Khatib nak
menunjukkan kebolehan kepada isterinya. TJK telah dihukum bunuh. Sebaik
darahnya menitik ke tanah, tubuh TJK telah ghaib.Tubuhnya itu dikatakan muncul
di Langkawi. Selepas peristiwa ini, singapura telah dilanggar oleh ikan-ikan
todak. Ramai rakyat Singapura telah terbunuh.
Paduka
Seri Maharaja telah menyuruh rakyatnya berkubukan betis, ini menjadikan semakin
ramai rakyatnya terbunuh. Seorang budak telah mencadangkan supaya
berkubu batang pisang. Kecerdikan budak ini menimbulkan kerisauan di hati
pembesar. Mereka mencadangkan budak itu dibunuh.
Raja yang
meninggal dunia digantikan anaknya iaitu Raja Iskandar Syah. RIS mengahwini
anak Tun Perpatih Tulus dan mendapat seorang anak bernama Raja Ahmad ataupun
nama timangannya Raja Besar Muda. RBM dikahwinkan dengan Tuan Puteri Kamarul
Ajaib, anak Raja Sulaiman Syah, raja Kota Mahligai.
Anak
bendahari raja Iskandar Syah telah dihukum canggai (sula) di pasar kerana
difitnah berbuat jahat dengan orang lain. Sang Rajuna Tapa merasa sangat malu.
Dia mengirimkan surat kepada Betara Majapahit meminta Majapahit menyerang
Singapura dan dia bersedia untuk belot dari dalam. Rakyat Majapahit telah
menyerang Singapura. Singapura dikepung selama sebulan oleh Demang mangku
Negara. Bekalan makanan dikatakan telah habis. Bila rakyat Singapura telah
keletihan, Sang Rajuna Tapa telah membuka pintu kota dan Singapura telah
dikalahkan.
Raja Iskandar Berlepas Ke Darat.
Raja
Iskandar Syah melarikan diri ke tanah besar. Sang Rajuna Tapa dan isteri
menjadi batu kerana derhaka kepada raja. Iskandar Syah cuba membuka sebuah
negeri baru di Hulu Muar, malangnya ia diserbu oleh biawak. Jadi tempat itu
dinamakan Biawak Busuk. Baginda pindah ke Sungai Ujong membina kota,
keesukannya kota itu menjadi buruk. Lalu dinamakan Kota Burok. Pindah pula ke
Sening Ujong. Dari sini pindah lagi ke Bertam.
Membuka Negeri Melaka.
Di
Bertam inilah berlaku peristiwa anjing pemburuan lari terjun ke sungai dikejar
oleh pelanduk putih. Semasa peristiwa berlaku, raja sedang berehat di bawah
pohon Melaka. Tempat itu dibuka dan dinamakan Melaka. Raja Iskandar Syah
memerintah Singapura selama 32 tahun. Selepas 3 tahun memerintah Melaka,
beliaupun mangkat. Raja Besar Muda pula menggantikannya memerintah Melaka.
Bagindalah raja yang pertama melantik 4 orang menteri untuk berkhidmat di
balai, 40 orang bentara dan anak-anak pembesar sebagai biduanda istana..
Di
zaman Raja Kecil Besar, baginda telah bermimpi berjumpa Rasulullah.
Rasulullah telah mengajarkannya kalimah tayyibah dan menukarkan namanya
menjadi Sultan Muhammad Syah. Rasulullah juga memberitahu pada waktu asar
esukknya akan tiba sebuah kapal dari Jeddah. Penumpangnya akan turun solat di
pantai. Selepas bangun dari tidur RKB mendapati tubuhnya berbau harum dan dia
asyik mengulang sebut akan kalimah sehingga disangka oleh para dayang yang
baginda telah dirasuk oleh Syaitan.
Kedatangan Islam ke Melaka.
Raja
telah memberitahu Bendahara yang ia bermimpi bertemu Rasulullah. Sebagai
buktinya, kalamnya kelihatan telah dikhatankan orang dan akan datang sebuah
kapal pada waktu Asar nanti. Pada petang itu datanglah sebuah kapal dari
Jeddah, Syed Abdul Aziz makhdum kapal itu telah turun bersembahyang di pantai.
SAA telah dibawa masuk ke istana dan semua orangpun telah memeluk agama Islam.
Mereka semuanya berguru pada SAA itu. Raja mengubah namanya menjadi Sultan
Muhammad Syah. Bendahara bergelar Seri Wak Raja. Perdana Menteri
bergelar Seri Amar Diraja. Penghulu bendahari pula bergelar Seri Nara Diraja.
Baginda
membuat beberpa pantang larang termasuk melarang rakyat menggunakan kain warna
kuning melainkan untuk dibuat kain, baju dan destar. Rakyat juga tidak boleh
berbuat rumah tiang gantung, Perahu tidak boleh bertingkap dan berpenghadapan.
Tidak boleh memakai penduk dan teterapan keris. Tidak boleh bergelang emas di
kaki. Tidak boleh berkeroncong emas kepala perak. Barangan emas tidak boleh
dipakai kecuali dianugerahkan oleh raja. Jika hendak masuk ke istana perlu
memakai kain berpancung, berkeris di hadapan dan bersebai. Jika keris di
belakang akan dirampas. Payung putih khusus untuk raja. Payung kuning pula
untuk putera raja.
Membuang Diri Kerana Berkecil Hati.
Mani
Purindam adalah anak seorang raja di negeri Pahili di Benua Keling. Dia telah
berhijrah ke Melaka kerana berkecil atas sikap adiknya yang tidak mahu
mendengar pandangannya dalam membahagikan harta pusaka bapa mereka. Di Melaka,
Mani Purindam dilantik menjadi menteri. Dia berkahwin dengan Ratna Sandari.
Hasilnya lahirlah Tun Ali dan Tun Ratna Wati. Tun Ratna Wati ini dikahwini oleh
Sultan dan lahirlah Raja Kassim.
Sultan
Muhammad juga mengahwini anak raja Rekan dan mendapat seorang anak lelaki
bernama Raja Ibrahim. Sultan Muhammad lebih mengasihi Raja Ibrahim disebabkan
sikap isterinya itu dan dia bercadang untuk merajakan Raja Ibrahim. Sebaliknya
rakyat lebih mengasihi Raja Kassim.
Bila
Bendahara Seri Wak Raja meninggal dunia, dia digantikan oleh Seri Amar Diraja.
Seri Amar Diraja telah menjadikan Tun Ali sebagai menantunya. Tun Ali juga dilantik
menjadi Seri Nara Diraja. Sultan Muhamad Syah juga telah meninggal
dunia selepas 67 tahun memerintah kerajaan Melaka.
Istana Di Bawah Pengaruh Raja Rekan.
Raja
Ibrahim ditabalkan sebagai Raja Melaka bergelar Sultan Abu Syahid. Pada ketika
itu dia masih kanak-kanak. Jadi Raja Rekanlah menjadi orang yang berkuasa di
istana Melaka. Raja Kassim dihalau dari istana dan menjadi seorang pengail.
Satu ketika seorang maulana bernama Maulana Jalaluddin datang ke Melaka.
Peristiwa Rampas Kuasa.
Dia
telah membantu Raja Kassim dan Seri Nara Diraja merampas kuasa dari Sultan Abu
Syahid. Mereka juga dibantu oleh Bendahara. Dalam rampasan kuasa itu
Raja Rekan telah membunuh Sultan Abu Syahid supaya mati bersama-samanya.
Raja
Kassim telah ditabalkan menjadi sultan bergelar Sultan Muzaffar Syah. Maulana
Jalaluddin yang mahu mengahwini Puteri Rekan ditipu dengan seorang dayang
istana. Dayang itu disangka Puteri Rekan dan di bawa ke atas angin.
Semasa
menjadi raja, Sultan Muzaffar Syah sangat memuliakan pula Seri Nara Diraja. Ini
kerana SND itu adalah bapa saudaranya yang telah menolongnya merampas kuasa.
Bendahara Seri Wak Raja tidak begitu diendahkannya. Satu hari Bendahara datang
ke istana berkebetulan Raja sudah hendak masuk kerana dia sudah lama di balai
penghadapan. Pintu pula tertutup oleh tiupan angin. Bendahara menyangka Sultan
tidak berkenan lagi padanya dan diapun membunuh diri. Peristiwa ini sangat
dikesali oleh sultan.
Bila
Bendahara Seri Wak Raja meninggal, Seri Nara Diraja pun dilantik menjadi
bendahara. Anak bendahara Seri Wak Raja ada tiga orang iaitu Tun Kudu, Tun
Perak dan Tun Perpatih Putih. Tun Kudu diperisterikan oleh Sultan Muzaffar
Syah. Tun Perak diangkat oleh orang Kelang sebagai penghulu.
BAB 5
BAKAT KEPIMPINAN TUN PERAK.
Raja
Negeri Siam atau negeri Syahrun Nuwi iaitu Paduka Bubunya mahukan negeri Melaka
menyembah kepadanya. Sultan Muzaffar Syah enggan menyembah. Jadi paduka Bubunya
menitahkan panglimanya yang bernama Awi Chakri menyerang Melaka. Tun Perak
telah membawa tenteranya untuk mempertahankan Melaka bersama-sama orang
perempuan masing-masing. Pengikutnya tidak puas hati dan mengadu kepada raja.
Tun Perak menyatakan bahawa orangnya akan berperang dengan lebih
bersungguh-sungguh dari orang lain kerana mahu menjaga keselamatan isteri mereka
masing-masing di samping berperang untuk raja. Sultan berpuas hati dengan
jawapan tersebut dan telah melantik Tun Perak menjadi bentara di istana. Tidak
lama kemudian dilantik pula menjadi menteri bergelar Paduka Raja.
Satu Cara Mengelakkan Pecah Belah.
Setelah
Tun Perak menjadi menteri, orang-orang Melaka berpecah dua. Keadaan ini
merunsingkan Sultan Muzaffar Syah. Untuk merapatkan hubungan Seri Nara Diraja
dengan Paduka Raja, Sultan telah menceraikan Tun Kudu untuk dikahwini oleh Seri
Nara Diraja. Tun Kudu ialah anak Bendahara Seri Wak Raja iaitu kakak Paduka
Raja Tun Perak. Dengan itu SND telah melepaskan jawatan Bendahara untuk
diberikan kepada PR. Tun Perak dikatakan sama taraf dengan Patih Aria Gajah
Mada di Pajapahit dan Orang Kaya Senayan di Pasai.
Langgaran Siam Dipatahkan.
Angkatan
Siam telah datang menyerang Melaka sekali lagi, diketuai oleh Awi Dicu. Paduka
Raja diarahkan menghalang angkatan Siam bersama Seri Bija Diraja Tun Hamzah
atau Datuk Bongkok. Angkatan mereka bertemu di Batu Pahat. Anak SBD iaitu Tun
Omar disuruh menjadi suluh. Semasa dia menyiasat kapal-kapal Siam itu dua tiga
buah perahu telah dikalahkannya.
Pada
waktu malam, Bendahara Paduka Raja telah menyuluh dipasangkan api pada
pohon-pohon bakau, nyireh, tumu dan api-api ditepi pantai. Angkatan Awi Dicu
tersalah anggap yang angkatan Melaka terlalu ramai. Kerana gerun merekapun
cabut lari. Melihat itu angkatan Melaka telah mengejar angkatan Siam hingga ke
Singapura. Sultan Muzaffar Syah sangat gembira.
Raja
Siam iaitu Paduka Bubunya sangat marah. Dia sendiri bercadang akan menyerang
Melaka. Mendengar itu Cau Panden anaknya menghalang dan berjanji akan menyerang
Melaka. Perkhabaran Cau Panden akan menyerang Melaka itu terdengar ke Melaka.
Seorang Arab yang dikenali sebagai Tuan Saidi Arab telah memanah Cau Panden itu
dari Melaka yang menyebabkannya terbunuh.
Pemerintahan Sultan Mansur Syah.
Setelah
memerintah selama 42 tahun, Sultan Muzaffar Syah pun meninggal dunia. Beliau
telah digantikan oleh anaknya Raja Abdullah yang bergelar Sultan Mansur. Pada
masa menaiki takhta berumur 27 tahun. Isterinya ialah Tun Putih, anak Seri Nara
Diraja. Mempunyai seorang anak gundik bernama Puteri Bakal.
Baginda
memerintahkan Bendahara Paduka raja dan Seri Bija Diraja menyerang negeri
Inderapura yang diperintah oleh Maharaja Dewa yang berada di bawah taklukan
Siam. Bendahara pula dapat menawan Puteri Onang Sari.
Raja Indera Pura Ditawan.
Maharaja
Dewa Sura berjaya ditangkap oleh Seri Bija Diraja dan dibawa balik ke Melaka.
Atas jasanya Seri Bija Diraja dinobatkan di Pahang oleh Sultan Mansur. Puteri
Onang Sari dikahwini oleh Sultan Mansur dan mendapat dua anak iaitu Raja
Muhammad dan Raja Ahmad.
Hubungan Muhibbah Melaka – Sulawesi.
Sultan
Mansur Syah mahu hubungan dengan Makasar dipereratkan. Seri Bija Pikrama dan
Tun Sura Diraja telah diutuskan untuk ke sana. Mereka berjaya
mengadap raja di Goa dan baginda sangat suka hati untuk bermuafakat dengan
Melaka. Apabila mereka mahu kembali ke Melaka, raja Goa telah
berusaha mendapatkan seorang budak untuk dihadiahkan kepada Sultan Mansur
Dari Mana Hang Tuah Berasal.
Raja
di Goa telah berjaya mendapatkan anak Raja Bajung yang bernama Daeng Mempawah
untuk dihadiahkan kepada Sultan Mansur Syah. Budak ini berumur 12 tahun dan
diberikan nama Hang Tuah oleh sultan. Dia seorang yang berani dan telah berjaya
membunuh 2 orang yang mengamuk. Di Melaka pada masa itu terdapat 9 orang
“Perhangan” iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, Hang Ali,
Hang Iskandar, Hang Hassan dan Hang Hussin.
Maharaja Dewa Sura Dibebaskan.
Gajah
Sultan Mansur Syah yang dibawa Kemanci telah terlepas dan lari ke hutan.
Panglima gajah iaitu Seri Rama telah gagal mencarinya semula. Maharaja Dewa
Sura telah dicadangkan untuk menangkap gajah itu. Tapi baginda mensyaratkan supaya
dia dibebaskan dahulu. Sultan Mansur bersetuju dan beliau telah berjaya
menangkap gajah itu semula. Sekalian anak-anak muda di Melaka disuruh belajar
ilmu gajah dengan MDS itu.
Seri
Nara Diraja yang beristerikan Tun Kudu telah berjaya mendapat 3 orang
anak iaitu Tun Tahir, Tun Senaja dan Tun Mutahir. Bila Tun Kudu mati, SND
kahwin lain dan mendapat 2 orang lagi anak iaitu Tun Bongsu dan Tun Sadah.
Hubungan Berbaik-Baik Melaka-Siam.
Sultan
Mansur Syah ingin hubungan dengan Siam dipulihkan. Tun Telanai dan Menteri Jana
Putera telah diutuskan ke sana. Mereka telah berjaya mengadap Paduka Bubunya
dan mengangkat martabat dan menjaga maruah raja Melaka. Sultan Mansur diberikan
makna sebagai raja yang dimenangkan akan Allah taala daripada segala seteru. Bila
ditanya kenapa Melaka tidak dapat dikalahkan oleh Siam, Tun Telanai telah
menyuruh Suir, seorang tua yang untut tetapi belakangnya tidak lut dtikam oleh
lembing. Sekalian orang Melaka dikatakan seperti Suir itu, iaitu tidak lut
ditikam dengan lembing. Paduka Bubunya telah percaya dengan tipu helah itu.
Paduka
Bubunya juga telah menyuruh angkatan Melaka membantu Siam menewaskan musuhnya
dalam satu peperangan di sana. Mereka diminta berperang dengan pasukan yang
kuat. Kebetulan di arah kiblat. Menteri Jana Putera telah mengatakan orang
Islam tidak boleh berperang mengadap kiblat kerana itu adalah arah untuk
sembahyang. Tipu helah itu dipercayai oleh Raja Siam.
Mereka
disuruh berperang ke hala matahari terbit dan berjaya dalam perang
tersebut. Paduka Bubunya telah memberi hadiah kepada semua ahli rombongan dari
Melaka itu. Tun Telanai diberikan seorang puteri bernama Onang Minaling Lang.
Dari perkahwinan itu melahirkan Tun Ali Haru.
BAB 6
MALANG
MEMBAWA TUAH.
Anak
raja Tanjung Pura telah hanyut ke pantai Begawan dan diselamatkan oleh seorang
penyadap. Namanya Raden Perlan Langu. Dia diberi nama gelaran Ki Mas Jaya. Si
penyadap selalu menyatakan bahawa Ki Mas Jaya bakal berkahwin dengan Puteri
Galoh Awi Kesuma, puteri Ratu Majapahit. Ki Mas Jaya pula menyatakan akan
mengangkat si Penyadap menjadi Patih Gajah Mada.
Kebetulannya
Awi Kesuma telah besar dan Patih Gajah Mada sendiri ada mendengar bisikan dari
rakyatnya yang dia sendiri akan mengahwini puteri tersebut. Lalu Patih Gajah
Mada mencadangkan supaya Awi Kesuma berkahwin. Untuk itu segala rakyat diminta
berkumpul untuk Awi Kesuma sendiri memilih bakal suaminya.
Bakal Ratu Majapahit.
Setelah
Awi Kesuma memandang Ki Mas Jaya iapun berkenan lalu mereka dikahwinkan. Ki Mas
Jaya diangkat menjadi betara Majapahit. Si Penyadap pula menuntut Betara
Majapahit menunaikan janji untuk mengangkatnya menjadi Patih Gajah Mada. Ki Mas
jaya membuka rahsia dirinya yang dia anak raja Tanjung Pura dan tuntutan si
penyadap. Atas cadangan Patih Gajah Mada, si penyadap telah dijadikan ketua
para penyadap dan diberi gelar Patih Adi Kara. Didudukkan sama taraf dengan
PGM.
Berita
tentang Ki Mas Jaya sebagai anak raja Tanjung Pura telah kedengaran kepada
ayahandanya. Utusan telah dihantar dan mereka sangat gembira melihat Raden Perlan
Langu masih hidup dan menjadi Betara Majapahit pula. Hasil perkahwinan Ki Mas
Jaya dengan Raden Awi kesuma lahirlah Raden Galuh cendera Kirana yang amat
masyhur kecantikannya itu. Telah ramai anak raja yang datang meminang tetapi
tidak diterima oleh Betara Majapahit itu.
Menjalin Muhibah Melaka-Majapahit.
Sultan
Mansur Syah juga turut jatuh berahi pada Raden Galuh Cendera Kira itu. Satu
rombongan untuk meminang ke sana segera bertolak. Bendahara Paduka raja
ditugaskan mentadbir negara. Dia ke sana dengan diiringi oleh 40 orang
“Perawangan” dan semua “Hanghang” yang sembilan orang itu yang diketuai oleh
Laksamana Hang Tuah. Hang Tuah telah beroleh gelaran Laksamana dari Sultan yang
mengenang jasanya membunuh seorang orang tua Jawa yang mengamuk di Melaka. Hang
Tuah sebelum itu telah berjaya membunuh 74 orang, orang mengamuk di Melaka.
Sultan
Mansur Syah juga diiringi oleh raja-raja dari Inderagiri (Sultan Nara Singa),
Tungkal (Raja Merlang), Jambi (Adipati Sira Sela Sida), Palembang (Demang
Mangku Raja) dan dari Lingga (Maharaja Isak). Rombongan SMS telah sampai
ke Majapahit. Pada masa itu RajaTanjung Pura dan Kediri ada mengadap. Betara
Majapahit telah menganugerahkan 40 bilah keris kepada rombongan. Keris yang
diberikan kepada raja Kediri dan Tanjung Pura dapat dicuri semula. Keris yang
diberikan kepada Raja Melaka tidak dapat. Ini menunjukkan raja Melaka lebih
cerdik dari raja-raja yang lain.
Telatah Budak-Budak Raja Melaka.
Di
Majapahit, Hang Tuah telah mencabar Tun Bijaya Sura menunjukkan kebolehannya.
Tun Bijaya Sura telah menari di hadapan Betara Majapahit. Digertaknya anjing
yang ada dibalai itu, terkejut ketakutan dan terus lari ke hutan. Dia juga
bermain “Sapu-sapu rengit”. Dalam permainan itu dia dan pembantunya dapat duduk
dan melunjurkan kaki ke arah Betara Majaphit. Kelakuannya itu dapat dikesan
oleh Betara Majapahit sebagai mahu membalas perbuatannya yang menambatkan
anjing di hadapan raja Melaka, seolah raja Melaka itu menyembah anjing
tersebut.
Tun
Bijaya Sura pula mencabar Hang Tuah naik menceroboh ke balai larangan Betara
Majapahit. Hang Tuah dan kawan-kawannya telah naik ke balai tersebut lalu
segera ditombak orang. Beratus tombak dilempar tetapi habis semuanya diparang
oleh Hang Tuah. Setelah diketahui oleh Betara Majapahit, dibiarkan sahaja oleh
baginda. Mata tombak yang beratus-ratus berkas itu diberikannya pula kepada
Hang Tuah.
Kehebatan
Hang Tuah telah menjadikan dirinya kegilaan kepada perempuan-perempuan di tanah
Majapahit itu. Sehinggakan terdapat pantun dibuat orang untuk menggambarkan
kehebatan Hang Tuah tersebut. Tun Bijaya Sura telah diminta oleh Betara
Majapahit menunjukkan tariannya lagi. Dia telah menarikan “berkeliling
gelagat”. Dalam permainan ini dia telah mengayunkan sapu tangan yang
dipinjamnya dari Raja Melaka. Habis muka para penjawat Majapahit itu disapunya.
Mereka hendak marah tidak dapat kerana Tun Bijaya Sura bermain itu dititahkan
oleh Betara Majapahit sendiri.
Untuk
memperkenakan Tun Bijaya Sura, Betara Majapahit telah memberikan persalinan
cara Jawa iaitu dengan berkeris di belakang. Disuruhnya seorang pencuri mencuri
semula keris itu dari Tun Bijaya Sura ketika beliau sedang asyik melihat orang
menyabung. Bila TBS menyedari kerisnya dicuri, dia pula mencuri keris dalam
puan Betara majapahit. BM sengaja menunjukkan keris yang dicari dari TBS dengan
berpura-pura untuk menunjukkan keelokannya. TBS pula menunjukkan keris yang
dicurinya. Jadi sedarlah BM yang kerisnya sendiri juga telah dicuri oleh TBS.
Jadi keris itu dikembalikan kepada TBS dan keris kedua itu dihadiahkan kepada
TBS juga. Setelah genap kerja berjaga-jaga selama 40 hari 40 malam, maka Sultan
Mansur pun dikahwinkan dengan Raden Galoh Cendera Kirana.
Memohon Jajahan Sebelum Kembali.
Sebelum
kembali ke Melaka, Tun Bijaya Sura disuruh Raja Melaka mintakan
daerah Inderagiri. Hang Tuah meminta daerah Siantan. Hasil perkahwinan SMS
dengan RGCK, lahirlah Raden Di Kelang. Hasil perkahwinan dengan anak Seri Nara
Diraja mendapat dua anak iaitu Raja Mahadewi dan Raja Cendana. Dari
perkahwinannya dengan saudara Paduka Raja yang bongsu, lahir pula Raja Hussein.
Hang Tuah Dihukum Bunuh.
Satu
ketika kuda Sultan Mansur Syah jatuh ke dalam telaga tahi. Beratus-ratus orang
yang melihat peristiwa itu. Seorangpun tidak mahu turun. Lalu Hang Tuah Terjun
kedalam telaga dan menambat kuda dengan tali. Barulah kuda dapat ditarik naik
ke atas.
Hang
Tuah telah dituduh bermukah dengan seorang dayang istana. Sultan telah menyuruh
Seri Nara Diraja menjalankan hukum bunuh. Bagaimanapun Seri Nara Diraja tidak
menjalankan hukum itu sebaliknya Hang Tuah telah dihantarkan ke dusunnya di
hulu Melaka. Dipasungkan.
Perhubungan Dengan Negeri China.
Raja
benua China telah menghantar utusan ke Melaka untuk menjalinkan hubungan
persahabatan. Dihantarkan juga hadiah seperti kain-kain sutera dan juga sebuah
pilau yang sarat dengan jarum. Jarum itu menunjukkan ramainya rakyat China.
Sebagai balasan Tun Perpatih Putih, adik bendahara Paduka Raja dihantar pula ke
China. Dia membawa sagu rendang sarat sekapal. Ragu rendang itu kononnya
diambil sebiji seorang dari rakyat Melaka lalu digelek-gelek. Raja China kagum
dengan kebesaran negeri Melaka, lalu berkenan untuk menjadikan raja Melaka
sebagai menantunya.
Untuk melihat Raja China, Tun Perpatih meminta
dihidangkan sayur kangkung yang dipotong panjang-panjang. Untuk makan dibimbit
hujung kangkung itu ke atas. Jadi dapatlah mereka melihat Raja China yang
berada di atas kerusi dalam mulut naga pada mungkur kacanya.
Raja China meminta Sultan Mansur datang ke China bagi dikahwinkan dengan
puterinya. TPP menyatakan Sultan tidak dapat datang kerana ada permusuhan. Jadi
baginda bersetuju supaya puterinya itu dihantarkan ke Melaka.
Puteri Raja China Ke Melaka.
Raja
China menghantarkan puterinya bernama Hang Liu ke Melaka. Puteri itu bersama
500 dayang dan 500 pengiring lelaki telah diislamkan oleh Raja Melaka. Puteri
itu dikahwininya. Mereka disuruh diam di Bukit China.
Bila
Laksamana Lak Di Po ingin kembali ke negeri China, Menteri Jana Putera dan Tun
Telanai pula disuruh pergi ke negeri China. Dalam perjalanan mereka terbias ke
Brunai kerana ribut. Raja Brunai juga berkirim sembah ke Melaka.
Kedal Kerana Tulah.
Selepas
2 hari menerima sembah raja Melaka, raja China telah didatangi penyakit kedal
anjing. Seluruh tubuhnya telah menjadi gatal-gatal. Beratus-ratus tabib cuba
mengubati tetapi gagal. Sehinggalah seorang tabib tua mengatakan penyakit itu
berpunca dari menerima sembah raja Melaka.
Utusanpun
dihantar ke Melaka memohonkan air basuh kaki dari Raja Melaka. Bila
air itu diminum dan dibuat basuh muka. Penyakit kedal itupun hilang. Dengan
sebab itu Raja China bersumpah tidak lagi mahu disembah oleh Raja Melaka.
Begitu juga dengan keturunannya takut terkena tulah.
BAB 7
Hang
Jebat telah mengamuk di dalam istana raja. Ini menyebabkan Sultan dan
permaisuri terpaksa melarikan diri. Bila tiada seorangpun hulubalang yang dapat
membunuh Hang Jebat itu, raja mula terkenangkan Hang Tuah. Bila
keadaan mengizinkan, Seri Nara Diraja pun menyembah dan memberitahu bahawa Hang
Tuah masih hidup di Hulu Melaka. Lalu Hang Tuah disuruh ambilkan. Dia diampuni
dan disuruh membuang arang di muka raja.
Pertarungan Hang Tuah – Hang Jebat.
Hang
Tuah dengan segera ke istana bertikam dengan Hang Jebat. Dua tiga kali kerisnya
terlekat di dinding dan tiang. Dibenarkan oleh Hang Jebat untuk dicabut semula.
Sekali keris Hang Jebat terlekat, terus dia ditikam oleh Hang Tuah. Dengan
tikaman kedua, Hang Jebatpun meninggal dunia. Mayat Hang Jebat dibuang ke laut.
Anak isterinya diumbut. Rumahnya juga dibuang ke laut. Istana tempat Hang Jebat
mati itu tidak lagi mahu diduduki. Istana baru minta diperbuatkan. Istana baru
sangat hebat. Mempunyai 17 ruang dengan 40 buanh pintu berukir. Istana
dinamakan orang “Mahligai Hawa Nafsu”.
Pangkat
laksamana dikembalikan semula kepada laksamana. Dia didudukkan sama taraf
dengan Seri Bija Diraja dan dibenarkan memikul pedang kerajaan. Seri Bija
Diraja pula diberikan daerah Sening Ujung.
Istana Sultan Mansur Syah Terbakar.
Dengan
takdir Allah taala, istana yang baru siap itu telah terbakar. Bagaimanapun
banyak harta dapat diselamatkan. Akibat peristiwa ini, ramai pula orang-orang
muda yang menerima anugerah raja kerana menyelamatkan harta raja. Sebuah istana
baru pula diminta siapkan dalam masa sebulan. Bendahara telah membahagikan
kerja-kerja membina istana ini kepada pembesar-pembesar jajahannya. Dengan itu
istana baru berjaya disiapkan. Bahkan lebih baik dari istana yang terbakar itu.
Ramalan Bendahara Paduka Raja.
Seri
Nara Diraja telah jatuh sakit. Dia memanggil Paduka Raja memintakan Paduka Raja
menguruskan anak-anaknya yang masih kecil. Lagipun mereka itu adalah anak-anak
saudara Paduka Raja sendiri. Emas sebanyak 5 buah candu peti diminta
bahagi-bahagikan antara mereka. Anak-anak SND itupun pindahlah ke rumah Paduka
Raja. Pada Satu waktu subuh, Bendahara telah melihat ada cahaya yang
terpancar dari kepala Tun Mutahir ke langit. Bendahara meramalkan bahawa Tun
Mutahir akan dapat menjadi orang besar. Bahkan lebih dari dirinya tetapi
kebesaran itu tidak kekal lama.
Bila
Tun Tahir dan Tun Mutahir besar, mereka telah meminta emas yang ditinggalkan
oleh ayahnya. Bendahara tidak memberinya. Sebaliknya mereka diberikan 10 tahil
emas untuk dibuat berniaga. Setelah cukup setahun, kedua mereka itu datang
untuk membayar hutang. Ini membuktikan yang mereka mampu menguruskan harta.
Lalu emas itu dan semua emas yang disimpan diberikan kepada mereka. Tun Tahir
telah dilantik menjadi Bendahari menggantikan bapanya dan bergelar Seri Nara
Diraja, Tun Mutahir dijadikan Temenggung dan bergelar Ser Maharaja. Tun
Abdullah pula diberi gelar Seri Nara Wangsa.
Akibat Tiada Menyembah Ke Melaka.
Pemerintah
Kampar yang bernama Maharaja Jaya tidak menyembah ke Melaka. Jadi Sultan
Mansurpun menitahkan satu angkatan pergi menyerang ke Kampar dengan diketuai
oleh Seri Nara Diraja. Dibantu oleh Khoja Baba. Mereka telah berjaya
mengalahkan Kampar. Maharaja Jaya dan mangkubuminya yang bernama Tun Demang
telah terbunuh. Negeri Kampar diserahkan kepada Seri Nara Diraja dan dia telah
melantik seorang adipatinya ke sana.
Sesudah Kampar, Siak Pula.
Pemerintah
Negeri Siak bernama Maharaja Parameswara juga tidak mahu menyembah ke Melaka.
Sultan Mansur memerintahkan Seri Udana untuk menyerang Siak bersama
angkatannya. Mereka telah berjaya membunh Maharaja Parameswara. Anaknya yang
bernama Megat Kudu dan Tun Jana Pakibul ditawan dan di bawa balik ke Melaka.
Megat Kudu telah dikahwinkan oleh Sultan Mansur dengan puterinya yang bernama
Raja Mahadewi. Dia dirajakan semula di Siak dengan gelaran Sultan Ibrahim. Tun
Jana dilantik sebagai Mangkubuminya.
Ditolak Bumi Melaka.
Raja
Muhammad yang bakal menggantikan ayahnya Sultan Mansur telah menyebabkan Tun
Besar, anak Paduka Raja meninggal dunia. Anak-anak buah Paduka Raja mahu
menderhaka untuk membalas dendam. Bendahara menentang hasrat tersebut tetapi
bersumpah tidak mahu berajakan Raja Muhamad.
Akibatnya
Sultan Mansur telah menghantar Raja Muhammad untuk beraja di Pahang. Bergelar
Sultan Muhammad Syah. Raja Muhammad telah berkahwin dengan Mengindera Puteri,
cucu Sultan Iskandar, Sultan Kelantan. Mendapat tiga orang anak iaitu Raja
Ahmad, Raja Jamil dan Raja Mahmud.
Juara Catur.
Ialah
Tun Bahara, orang pasai yang datang ke Melaka. Tiada siapa yang dapat
menandinginya. Bermain tanpa berfikir, sambil bersyair, berbait, bergurindam
dan berseloka. Cuma yang dapat sedikit menandinginya ialah Tun Pikrama, anak
Bendahara Paduka Raja.
Disuruh Merompak Ke Ujung Tanah.
Raja
di negeri Meluluki, Makasar bernama Keraeng Majiko beristerikan anak Keraeng di
Tandering Jikamak tujuh saudara. Anak dari puteri yang tua bernama Semerluki.
Apabila dewasa, Semerluki telah berahikan emak saudaranya yang bongsu. Ayahnya
mengetahui hasrat Semerluki itu dan menyuruhnya pergi merompak ke Ujung Tanah
(wilayah Melaka) untuk mendapatkan perempuan-perempuan yang cantik. Jadi
Semerluki telah pergi merompak ke pulau Jawa, wilayah taklukan Siam, Melaka dan
juga Pasai. Di Melaka dia ditentang oleh angkatan Laksamana Hang Tuah dan di
Pasai oleh Orang Kaya Kenayan. Jawa dan Siam berjaya dialahkannya tetapi dia
gagal di Melaka dan juga Pasai.
Kitab Duri’l Mazlum.
Maulana
Abu Ishak adalah seorang ulama tasawuf di Mekah. Beliau mengarang kitab Duri’l
Mazlum. Beliau telah menyuruh anak muridnya yang bernama Maulana Abu Bakar
supaya menyebarkan isi kitab itu ke Melaka. Di Melaka, Maulana Abu Bakar
dimuliakan oleh Sultan Mansur yang turut berguru dengannya. Kadi Melaka iaitu
Kadi Yusuf pada mulanya tidak mahu berguru dengan Maulana Abu Bakar tetapi
selepas dia terpandangkan maulana itu yang dipenuhi cahaya seperti sumbu dian,
maka diapun turut berguru sama. Malah dia telah meletak jawatan kadi dan
digantikan anaknya Kadi Munawar.
Orang-orang
Melaka dan Pasai pada masa itu sangat minat untuk belajar ilmu agama. Kitab
Duri’l Mazlum dapat diberikan makna (terjemahan) oleh Makhdum Patakan, orang
Pasai. Sultan Mansur juga pernah bertanyakan kemusykilan agama kepada Makhdum
Mua di Pasai itu.Tentang kekal atau tidaknya penghuni Syurga dan Neraka.
BAB 8
RAJA CEMPA DAN ZURIATNYA.
Raja
Campa telah memperolehi seorang budak dari mayang pinang dan diberi nama Pau
Gelang. Dia dikahwinkan dengan Pau Bania. Pau Gama dari keturunanannya telah
datang mengadap ke Majapahit. Dia dikahwinkan dengan Raden Galuh Ajeng. Anaknya
dinamakan Raja Jakanak. Pada masa Pau Cin memerintah telah berlaku perang
antara Cempa dengan Kuci. Raja Kuci telah merasuah Penghulu Bendahari
menyebabkan Cempa dapat dikalahkan. Dua orang anak raja Cempa iaitu
Syah Indera Berma dan Syah Pau Ling telah pergi ke Melaka dan Aceh. Syah Indera
Berma telah memeluk agama Islam. Dia dijadikan menteri di Melaka oleh Sultan
Mansur Syah.
Gema Peristiwa Rampas Kuasa Di Pasai.
Pemerintah
Pasai bernama Sultan Zainal Abidin. Saudaranya telah merampas kuasa. Dia lari
ke Melaka. Sultan telah menyuruh Bendahara Paduka Raja, Seri Bija Diraja dan
Laksamana serta 2 laksa tentera pergi merajakan semula Sultan Zainal Abidin.
Setelah beberapa kali perang, Sultan Zainul Abidin berjaya ditabalkan semula.
Dia enggan menyembah ke Melaka. Belumpun angkatan Melaka sampai ke Melaka ,
sultan itu berjaya dikalahkan semula. Laksamana cadangkan supaya angkata
berpatah balik untuk merajakan semula Sultan Zainal abidin tetapi Bendahara
enggan. Bila kembali ke Melaka, Bendahara telah dimurkai Sultan.
Bila
ditanya Sultan, Laksamana telah menyatakan keburukan Bendahara semasa di Pasai
sedangkan bila Bendahara dipanggil, dia telah memuji-muji laksamana. Ini
menyebabkan laksamana malu sendiri. Dia segera pergi ke rumah bendahara dan
menyembah, meniarap di kaki bendahara.
Wasiat Sultan Mansur Syah.
Hasrat
Sultan Mansur Syah mahu melantik Raden Kelang, anakanda baginda dengan Raden
Galuh Cendera Kirana menggantikannya, Malangnya Raden Kelang mati terbunuh oleh
orang mengamuk. Paduka Mimat, anakanda baginda dengan Puteri Hang Liu juga
sudah meninggal. Saudaranya Paduka Seri Cina dirajakan di Jeram, hampir Langat.
Bila SMS hampir meninggal dia mewasiatkan agar Raja Ahmad atau nama timangannya
Raja Hussain dilantik menjadi sultan. Pesan baginda pada Raja Hussain ;
i. Dunia
tidak kekal, setiap yang hidup akan mati.
ii. Iman
yang sempurna dan pekerti yang baik akan kekal disebut orang.
iii. Hendaklah
adil.
iv. Jangan
mengambil hak orang tanpa izin.
v. Jangan
lalai dari tugas (dihadap orang).
vi. Setiap
kesukaran atau kesakitan hendaklah ditolong.
vii. Setiap
yang teraniaya disiasat.
viii.
Muafakat dengan menteri dan orang besar.
ix. Patuh
pada wasiat supaya dapat berkat.
Pemerintahan Sultan Alau’d-Din Riayat
Syah.
Sultan
Alauddin beristeri dua orang. Isteri pertama ada 2 anak iaitu Raja Menawar dan
Raja Zainal. Isteri kedua ada 3 anak iaitu Raja Hitam, Raja Muhammad dan Raja
Zainal.Dalam negeri banyak berlaku kes kecurian. Bagi mengatasi masalah,
baginda sendiri telah keluar meronda bersama Hang Isap dan Hang Ishak, penjawat
sirih santap baginda. Terjumpalah dengan 5 orang pencuri sedang mengusung peti.
Diusirnya pencuri itu. Dia berjaya membunuh 2 orang dan Hang Isap membunuh
seorang, 2 orang lagi berjaya melarikan diri. Setelah itu ia kembali ke istana.
Langkah Membasmi Pencuri.
Setelah
Temenggung mendengar Sultan sendiri keluar meronda bersama Hang Isap dan Hang
Ishak, dia mulai mengeraskan kawalan. Sesiapa yang dijumpai berjalan malam
dibunuhnya. Membuatkan pencurian berjaya dibenteras. Sebuah balai dibina di
simpang empat di tengah negeri. Seorang penghulu ditugaskan berkawal di situ.
Sesiapa yang menjumpai harta orang hendaklah dipulangkan kalau tidak tangannya
akan dikerat. Setiap barang yang dijumpai dihantarkan ke balai.
Akibat Salam Dibacakan Sembah.
Maharaja
Diraja, raja Haru telah mengutuskan Raja Pahlawan ke Pasai. Surat
Maharaja Diraja yang berkirim salam dikatakan berkirim sembah oleh khatib yang
bertugas. Bila teguran tidak diendahkan, Raja Pahlawan telah
mengamuk. Ramai rakyat Pasai terbunuh. Raja Pahlawan dan rombongannya juga
ramai terbunuh. Mulai kes itu, Haru bermusuhan dengan Pasai.
Maharaja
Diraja telah menyuruh pahlawannya yang bernama Seri Indera mengamuk dalam
jajahan Pasai. Seri Indera terlanjur hingga ke jajahan Melaka. Sultan Alaudin
telah menitahkan Paduka Tuan, Laksamana Hang Tuah dan Seri Bija Diraja menyekat
amukan Haru. Orang Haru kalah dan mengundurkan diri.
Mia Ruzul Dengan Kambing Randuk.
Mia
Ruzul adalah seorang keling yang turut serta dalam angkatan perang Melaka. Dia
telah ke darat untuk buang air besar. Terpandangkan seekor kambing disangkanya
orang tua Haru yang mengintainya. Bila disergah kambing itu melawan, akibatnya
Mia Ruzul lari lintang pukang. Bila disiasat ternyata hanyalah seekor kambing.
Semua orang ketawa dan marahkan Miz Ruzul.
Peperangan
berlaku lagi antara orang Melaka dengan orang Haru di Pengkalan Dungun. Orang
Haru telah minta diadakan perdamaian dan diterima oleh Paduka Tuan. Tidak lama
selepas kembali ke Melaka, Seri Bija Diraja telah meninggal dunia dan dia
digantikan oleh anaknya T un Kerunta. Juga bergelar Seri Bija Diraja. Seorang
lagi anaknya bergelar Tun Bija Diraja.
Ketiganya Sama Gagah.
Raja
Maluku telah lari ke Melaka bila negerinya dikalahkan oleh Kastilan. Dia sangat
pandai bermain sepak raga. Ditimangnya 100 – 200 kali barulah diberikan kepada
orang lain. Dia juga sangat gagah, Umbi pokok kelapa diparangnya hingga putus.
Begitu juga Telanai Terengganu dan Sultan Alaudin. Telanai Terengganu melembing
pokok kelapa tembus ke sebelah. Sultan Alaudin pula gagah
memanah. Telanai Terengganu yang pergi mengadap ke Melaka tanpa
memberitahu ke Pahang telah menimbulkan kemurkaan Sultan Muhammad (Pahang).
Baginda telah mengarahkan Seri Akar Diraja pergi membunuh Telanai Terengganu.
Telanai Terengganu mati terbunuh, anak-anak cucunya habis lari ke Melaka.
Sultan Melaka pada mulanya ingin menyerang Pahang tetapi atas nasihat
Bendahara, Laksamana Hang Tuah sahaja dihantar ke sana.
Gema Pembunuhan Telanai Terengganu.
Di
Pahang, Hang Tuah telah menyuruh orangnya membunuh saudara sepupu Seri Akar
Diraja. Bila orang yang membunuh itu ditangkap, Hang Tuah tidak membenarkan
diambil sebarang tindakan kerana katanya, Seri Akar Diraja juga ada salahnya
dengan Sultan Melaka iaitu membunuh Telanai Terengganu tanpa memberitahu ke
Melaka. Sultan Muhammad mengatakan Telanai Terengganu dibunuh kerana katanya
Telanai Terengganu biadab dengan mengatakan negeri Melaka itu terletak di bawah
kelangkangannya.
BAB 9
MEMBUNUH TANPA MEMBERITAHU KE MELAKA.
Sultan
Ibrahim telah menyuruh Tun Jana Pakibul membunuh seorang pesalah di Siak. Hal
ini diketahui ke Melaka. Hang Tuah telah diarah untuk pergi ke Siak.
Tun Jana Pakibul dimarahinya dalam majlis Sultan Ibrahim. Sultan dan Tun Jana
Pakibul terdiam. Bila Hang Tuah mahu pulang ke Melaka, Sultan Ibrahim telah
berkirim surat memohon kemaafan dari Sultan Alaudin. Pada masa itu, tidak
dibenarkan hukuman bunuh dalam taklukan Melaka melainkan dengan pengetahuan
Sultan Melaka.
Seorang
anak Sultan Alaudin yang bernama Raja Menawar telah dirajakan di Kampar. Bila
Sultan Alaudin mangkat, tempatnya digantikan oleh Raja Mamad. Pada masa itu
Raja Mamad masih lagi seorang kanak-kanak. Wasiatnya supaya Raja Mamad
menggantikannya disampaikan di hadapan Bendahara Paduka Raja, Kadi, Paduka
Tuan, Seri Nara Diraja, Temenggung dan Laksamana Hang Tuah.
Pemerintahan
Sultan Mahmud Syah.
Kepada
Raja Mamad, Sultan Alaudin berpesan supaya :
ð Banyak
bersabar.
ð Memaafkan
kesalahan hamba sahaya.
ð Utamakan
pekerjaan akhirat dari kerja dunia.
ð Berserah
diri atau bertawakkal kepada Allah.
ð Jangan
mengaibkan pesalah, kalau perlu bunuh, boleh dibunuh.
ð Patuh
pada wasiat supaya dapat berkat Allah.
Setelah
berwasiat kepada Raja Mamad, Sultan Alaudin pun mangkat. Baginda digantikan
oleh Raja Mamad dengan gelaran Sultan Mahmud Syah. Sekali peristiwa Sultan
Mahmud sakit perut buang-buang air. Terpaksalah Bendahara Paduka Raja dan
Laksamana mengasuhnya. Bendahara membasuh beras, Laksamana memasaknya. Bila
masak bendahara yang menyuapkan. Bila buang air, Laksamana membasuhnya. Nenda
baginda yang bergelar Raja Tua telah datang untuk melihat Sultan Mahmud. Dia
tidak dibenarkan hampir oleh bendahara. Ini kerana dia lebih kasihkan Raja
Menawar dan dia bercadang untuk membunuh Sultan Mahmud dengan menindihnya
sambil pura-pura menangis. Rancangannya tidak berjaya.
Bendahara Paduka raja dengan Laksamana.
Setelah
sembuh dari sakit, Sultan Mahmud menganugerahkan Bendahara dan Laksamana akan
usungan. Laksamana menggunakannya tetapi bendahara tidak. Bila anak-anak
buahnya mengomen, Bendahara mengatakan dia tidak mahu dipandang sama taraf atau
lebih mulia dari Raja. Bendahara juga selalu memberikan apa-apa hadiah istimewa
yang diterimanya kepada laksamana seperti perahu, gajah, kuda atau alat
senjata. Alasannya supaya Laksamana dapat memanfaatkan alat-alat itu untuk
negara.
Wasiat Bendahara Paduka Raja.
Bila
bendahara jatuh sakit, dia mengumpulkan semua anak cucunya. Untuk mereka dia
berwasiat. Nasihatnya kepada Tun Mutahir, Tun Zainal Abidin, Seri Nara Diraja
Tun Tahir, Tun Pauh dan juga Tun Isap. Sultan Mahmud juga datang menziarahi
Bendahara.
Setelah
Bendahara Paduka Raja meninggal dunia dia digantikan oleh saudaranya yang bernama
Tun Perpatih Putih. Bergelar Bendahara Putih. Bendahara ini sangat boros.
Jikalau lilin panjang sejengkal dibuangnya kerana dianggapnya puntung.
Nyaris Lembing Diterbangkan Ke Dada.
Sultan
Mahmud telah berlaku curang dengan isteri Tun Biajid ketika Tun Biajid pergi ke
Merba. Semasa mahu pulang di waktu dinihari, dia terserempak dengan Tun Biajid.
Tun Biajid hampir melembing Sultan Mahmud kalaulah tidak dingatnya yang Sultan
Mahmud adalah tuannya. Isterinya itu diceraikan. Sebagai ganti, Sultan memberikannya
seorang gundik baginda yang bernama Tun Iram Sendari.
Pada
satu malam, Sultan Mahmud pergi ke rumah Tun Dewi, Di sana di dapati telahpun
ada Tun Ali Sandang. Dia memberikan sirih dalam puan kepada Tun Isap
sebagai isyarat supaya Tun Isap membunuh Tun Ali Sandang itu.
Peristiwa Pembunuhan Tun Ali Sandang.
Setelah
menerima sirih, Tun Isappun pergi membunuh Tun Ali Sandang. Seri Wak Raja (anak
bongsu Bendahara Paduka Raja) sangat marah, dia mahu Tun Isap dibunuh tetapi
Sultan Mahmud arahkan Tun Isap berlepas diri. Tun Isap lari membawa diri ke
merata tempat termasuklah ke Pasai, Haru dan Brunai. Akhirnya dia kembali ke
Melaka. Bila pulang Sultan menyuruhnya pergi mohon maaf dengan Seri Wak Raja
tetapi Tun Isap dibunuh sebaik dia sampai ketika Seri Wak Raja masih lagi di
atas gajah.
Pada
waktu terdapat 4 orang yang sangat dikasihi oleh Sultan iaitu Seri Wak Raja
sendiri, Tun Umar, Hang Isa pantas dan Hang Hussin Cengang. Baginda berjanji
akan menunaikan apa sahaja permintaan mereka. Bagaimanapun bila Seri Wak Raja
memohon jadi panglima gajah, tidak ditunaikan kerana Seri Rama masih hidup. Tun
Umar mohon jadi raja di laut itupun tidak ditunaikan kerana Laksamana masih
hidup. Permintaan Hang Isa mahukan emas dan kain baju, segera ditunaikan. Hang
Hussin pula mohonkan kerbau 15 kelamin dan hamba 50 orang. Segera juga
ditunaikan.
Telatah orang-orang yang dikasihi raja.
Seri
Wak Raja sendiri bila dipanggil oleh raja, sengaja dia melewat-lewatkannya.
Kecuali bila Tun Isap yang datang kerana Tun Isap akan meminta pelbagai perkara
sambil menantikan Seri Wak Raja siap. Sebenarnya Seri Wak Raja adalah sangat
mahir tentang gajah dan kuda. Kerana kemahirannya itu dia berjaya mengahwini
anak Kadi Menawar. Hang Isa Pantas pula mahir dalam permainan layang-layang. Layang-layang
Raja Ahmad yang besarpun putus apabila bergesel dengan layang-layangnya. Hang
Hussain pantas pula seorang yang kuat makan.
Sultan
Mahmud seorang yang cepat marah. Dia telah mengarahkan supaya Seri Bija Diraja
dibunuh kerana Seri Bija Diraja tidak datang mengadapnya pada hari raya. Sultan
Mahmud sendiri tidak dilayan oleh Maulana Yusuf kerana dia datang untuk belajar
tetapi sebagai Yang Dipertuan. Dia hanya dilayan bila datang sebagai fakir
Mahmud.
Manjong Dan Kelantan Diserang.
Sultan
Mahmud menitahkan Paduka Tuan untuk menyerang Manjong kerana Manjong
bermusuh-musuhan dengan Beruas. Beruas adalah jajahan Melaka. Paduka Tuan
berjaya mengalahkan Manjong. Seri Maharaja pula dititahkan menyerang Kelantan.
Kelantan juga berjaya dikalahkan. 3 orang puteri raja Kelantan ditawan dan
dibawa balik ke Melaka. Puteri Onang Kinang diperisterikan baginda.
BAB 10
TUN MUTAHIR DIJADIKAN BENDAHARA.
Setelah
Bendahara Putih meninggal terdapat 9 orang yang layak untuk dilantik sebagai
bendahara. Bonda Sultan Mahmud adalah saudara Tun Mutahir. Dia telah
mempengaruhi Sultan Mahmud agar melantik saudaranya itu sebagai Bendahara.
Beliau bergelar Bendahara Seri Maharaja. Satu perangainya yang buruk ialah
belaiu seorang yang kuat bergaya. Dalam sehari enam tujuh pasang persalinannya.
Bagaimanapun setelah beliau menjadi Bendahara, Negeri Melaka semakin makmur.
Titisan keturunan Bendahara Seri Maharaja.
Anak
Bendahara Seri Maharaja sangat ramai. Anaknya yang sulung ialah Tun Hassan
Temenggung. Anaknya Tun Biajid Rupat bergelar Seri Petam. Seri Nara Diraja
iaitu kakak Bendahara Seri Maharaja pula dilantik sebagai Penghulu Bendahari.
Mempunyai 5 orang anak. Tun Abdul, adik Bendahara Seri Maharaja pula bergelar
Seri Nara Wangsa.
Peristiwa Patih Adam dengan Tun Minda.
Patih
Adam adalah Pangeran Surabaya, dia telah bertamu ke rumah Seri Nara Diraja. Tun
Minda yang masih kecil dan baru tahu berlari-lari telah berlari-lari di depan
Patih Adam. Seri Nara Diraja sambil bergurau mengatakan Tun Minda berkata mahu
berlakikan Patih Adam.Setelah Tun Minda besar, Patih Adam telah datang semula
ke Melaka bersama 40 peria untuk menuntut janji Seri Nara Diraja. Pada mulanya
Seri Nara Diraja tidak bersetuju. Pateh Adam menjalankan helah untuk menangkap
Tun Minda di rumahnya. Setelah pengawal dirasuah dapatlah dia masuk dan
menangkap Tun Minda. Tun Minda diikat dan dia sendiri menindih peha Tun Minda.
Setelah semua pengikutnya mati terbunuh, Tun Minda tidak dilepaskan. Akhirnya
dapatlah dia mengahwini Tun Minda dan kembali ke Surabaya.
Meminang “Puteri Gunung Ledang”.
Setelah
Bonda Raja Ahmad meninggal, Sultan Mahmud ingin kahwin lagi. Beliau berhajat
untuk mengahwini Puteri Gunung Ledang. Laksamana dan Sang Setia disuruh
meminang. Tun Mamad penghulu orang Inderagiri juga ikut serta. Setelah sampai
separuh gunung, Laksamana dan Sang Setia disuruh berhenti.
Tun
Mamat telah naik dengan 2 orang lain. Bila sampai di had buluh perindu, beliau
telah berjumpa seorang perempuan tua dalam sebuah taman. Beliau mengaku bernama
Dang raya Rani iaitu pengetua Puteri Gunung Ledang.Tun Mamad telah menyatakan
hajat Sultan Mahmod. Tidak lama kemudian muncul seorang tua yang lain. Dia
memberitahu syarat Tuan Puteri Gunung Ledang untuk menerima pinangan Sultan
Mahmud iaitu baginda dikehendaki membina jambatan emas dan perak ke gunung
Ledang dari Melaka, hati nyamuk 7 dulang, Hati kuman 7 dulang, air mata
setempayan, air pinang muda setempayan dan darah anak raja semangkuk. Bila
syarat-syarat ini dinyatakan kepada Sultan Mahmud belaiu mengaku dapat
menyediakan semua permintaan kecuali darah Raja Ahmad yang semangkuk itu.
Tepuk Berbalas, Alang Berjawat.
Sultan
Nara Singa, raja Inderagiri dijadikan menantu Sultan Mahmud. Setelah bernikah
dia tidak dibenarkan balik ke Inderagiri. Bila dapat kesempatan balik,
Inderagiri telah diperintah oleh Maharaja Isap. Bila Sultan Nara Singa balik,
Maharaja Isap lari ke Lingga. Dijadikan menantu Raja Lingga dan kemudian
menggantikan mertuanya sebagai raja Lingga.
Semasa
Maharaja Isap datang mengadap ke Melaka, Sultan Nara Singa telah menyerang
Lingga. Sebaliknya bila Sultan Nara Singa mengadap ke Melaka, Maharaja Isap
pula menyerang Inderagiri dan lekas-lekas dia ke Melaka. Di Melaka, mereka
didamaikan oleh Sultan Mahmud.
Hang Nadim dititahkan ke Benua Keling.
Hang
Nadim, menantu Laksamana Hang Tuah, telah dititahkan ke Benua Keling
untuk membeli kain batik. 40 bagai, satu bagai 40 helai, 1 helai 40 jenis
bunga. Beliau pergi dengan kapal Hang Isap. Cuma 2 orang pelukis sahaja yang
mampu menyediakan corak kain yang dikehendaki oleh Hang Nadim itu. Setelah kain
batik siap, Hang Nadim segera bersiap untuk pulang.
Malangnya
Hang Isap telah berkelahi dengan seorang peniaga saiyid. Hang Isap didakwa
tidak menjelaskan semua bayarannya dan dia mengatakan kepada Saiyid itu sebagai
“wali pelir”. Kerana marah dia bersumpah bahawa Hang Isap akan karam dalam
perjalanan pulang nanti. Sumpahnya menjadi kenyataan bila kapal Hang Isap telah
karam dipukul ribut. Bagaimanapun Hang Nadim berjaya menyelamatkan diri ke
Pulau Selon. Dia berjaya pulang ke Melaka dengan membawa kain 4 helai sahaja.
Sultan murka dengannya. Laksamana Hang Tuah telah meninggal dunia, dikebumikan
di Tanjung Keling. Dia digantikan oleh menantunya iaitu Laksamana Khoja Hassan.
BAB 11
SERI WAK RAJA DENGAN GAJAH PAHANG.
Setelah
Sultan Muhammad, raja Pahang yang pertama meninggal. Beliau digantikan oleh
anak sulungnya yang bernama Abdul Jamal. Abdul Jamal menghantar utusan ke
Melaka minta ditabalkan. Sultan Mahmud telah menghantar Seri Wak Raja ke Pahang
bagi menabalkan Abdul Jamal dengan gelaran Sultan Abdul Jamal. Di Pahang, ilmu
Seri Wak Raja dan anaknya Tun Umar mengenai gajah teruji. Bagaimanapun mereka
berjaya.
Peri Cantiknya Paras Anak Bendahara
Pahang.
Seri
Wak raja telah pulang ke Melaka dan menceritakan tentang cantiknya paras anak
Bendahara Pahang yang bernama Tun Teja Ratna Benggala. Ini membuatkan Sultan
Mahmud berahikannya. Baginda bersumpah, sesiapa yang dapat mendatangkan TunTeja
akan diberikan hadiah yang besar, sekalipun dia meminta sekerat daripada negeri
Melaka. Berita ini didengar Hang Nadim. Untuk menebus dosanya, beliau segera ke
Pahang.
Tun Teja Dilarikan Ke Melaka.
Hang
Nadim telah berbuat baik dengan seorang perempuan tua, tukang pelulut dan juga
dengan Nakhoda Saiyid Ahmad. Dengan bantuan mereka, Hang Nadim berjaya
melarikan Tun Teja ke Melaka.
Pertempuran Di Laut Pulau Keban.
Sebaik
Sultan Abdul Jamal, mendengar tunangannya dilarikan Hang Nadim, Dia segera
mengejar. Hang Nadim diserang oleh angkatan Sultan Abdul Jamal. Bagaimanapun
dia berjaya melepaskan diri ke Melaka. Sultan Melaka sangat gembira. Hang Nadim
dihadiahkan emas dan perak yang tidak terkira. Saiyid Ahmad dijadikan bentara.
Hang Nadim sendiri dianugerahkan Puteri Cau Pauk, anak raja Kelantan.
Gajah Sultan Pahang Pula Dilarikan.
Sekembalinya
Sultan Abdul Jamal ke istana, dia sangat marah, dengan menunggang gajahnya yang
bernama Ai Kening dilanggarnya balairung istananya sendiri. Kononnya begitulah
dia akan melanggar istana Melaka. Khabar ini didengar oleh Sultan Mahmud di
Melaka. Disuruhnya pula curi gajah tersebut. Laksamana Khoja Hassan telah pergi
ke Pahang. Dengan tipu helahnya, Ai Kening telah berjaya dilarikan
ke Melaka.
Bersyaikh diri di Lubuk Pelang.
Sultan
Abdul Jamal dengan segera memerintahkan panglima Pahang mengejar Laksamana
Khoja Hassan. Mereka diketuai oleh Seri Akar Raja. Bagaimanapun usaha mereka
gagal. Sultan Abdul Jamal telah turun takhta dan membawa diri bersyaik di Lubuk
Pelang. Anakanda baginda bergelar Sultan Mansur Syah dirajakan.
Rahsia pembunuhan Raja Zainal.
Dia
adalah saudara Sultan Mahmud sendiri. Kecantikannya tiada tara pada waktu itu.
Dia menjadi kegilaan orang-orang perempun di Melaka. Bila dia berkuda, habislah
gempar sekalian orang perempuan mahu melihatnya. Berebutan mereka mahu
memberikan hadiah kepadanya. Mendengar hal ini, Sultan Mahmud murka dan secara
senyap-senyap dia telah menyuruh Hang Berkat pergi membunuh Raja Zainal.
Hebohlah orang mengatakan Raja Zainal telah mati dibunuh oleh pencuri. Hang
Berkat dianggap saudara oleh Sultan dan dia diberikan gelar Sang Sura.
Sultan Mahmud Syah Serba Salah.
Satu
hari isteri Sang Sura telah berzina dengan Sang Guna. Sang Sura mahu Sang Guna
dibunuh. Akibatnya sultan serba salah kerana Sang Guna adalah tukang keris
istana yang mahir. Bagaimanapun Sang Guna telah dihukum berkurung dalam rumah.
Untuk berdiri di muka pintupun tidak dibenarkan. Tidak dibenarkan ke mana-mana.
Akhirnya Sang Guna minta dikat dan diserahkan kepada Sang Sura supaya
dibunuhnya sekali.
BAB 12
RAJA LEGOR GAGAL MENYERANG PAHANG.
Raja
Legor yang bernama Maharaja Dewa Sura telah dititahkan oleh Raja Siam untuk
menyerang Pahang. Berita ini didengar ke Melaka. Setelah bermesyuarat, Sultan
Mahmud telah bersetuju menghantar tentera Melaka bagi membantu Pahang.
Bendahara Seri Maharaja telah diarahkan ke sana. Dia juga meminta Laksamana
turut sama. Dengan bantuan Melaka, Pahang tidak berjaya ditewaskan oleh Legor.
Biadap Di Hadapan Bendahara.
Seorang
pembesar bernamaTun Perpatih Hitam, dia mempunyai seorang anak bernama Tun
Hussin. Dia pernah bersumpah akan mengamuk sekiranya bapanya dibicarakan orang.
Satu kali bapanya itu dipanggil bicara di hadapan Bendahara kerana berselisih
faham dengan seorang dagang. Pada masa perbicaraan itu berlansung, Tun Hussin
telah datang. Melihat kedatangan anaknya itu, Tun Perpatih hitam telah menguis
tikar dihdapan Bendahara. Perlakuan ini dianggap biadab oleh Laksamana dan dia
segera dibunuh. Tun Hussin yang mahu mengamuk juga dibunuh. Laksamana segera
melapurkan pada Sultan dan Sultan bersetuju dengan tindakan Laksamana itu.
Zuriat Laksamana Hang Tuah.
Laksamana
mempunyai 2 orang isteri. Isteri pertama iaitu saudara Seri Bija Diraja Datuk
Bongkok ada 3 anak iaitu Tun Sirah (Isteri temenggung Khoja Hussin), Tun Biajid
dan Tun Daerah (isteri Sultan Mahmud). Dengan isterinya yang kedua
dari keluarga Bendahara Paduka Raja ada 2 orang anak iaitu Sang Guna dan Tun
Emas Jiwa (Isteri Hang Nadim).
Raja Petani dan Raja Kedah dinobatkan.
Anak
raja Siam Cau Seri Bangsa telah menyerang Kota Mahligai yang diperintah oleh
Raja Sulaiman Syah. Dia berjanji kiranya dia berjaya, dia akan memeluk agama
Islam. Takdir Allah dia menang. Diapun memeluk Islam. Mendirikan kota di
Petani. Dia meminta dinobatkan oleh Melaka. Melaka telah menobatkannya dengan
gelaran Sultan Seri Ahmad Syah. Raja Kedah juga telah ke Melaka untuk
dinobatkan. Beliau juga dinobatkan oleh Sultan Mahmud.
Kebesaran
Melaka Dan Kedatangan Poortugis.
Penduduk
negeri Melaka semakin ramai hingga mencapai 19 laksa ramainya. Ramai dagang
yang datang termasuklah orang Portugis dari Goa, India. Hairan orang Melaka
melihat mereka dan dikatakan sebagai Benggali Putih. Setelah kembali ke India,
dia membuat laporan kepada wizurainya di Goa iaitu Alfonso d’ Albuquerque.
Dengan segera dia memerintahkan tenteranya datang menyerang Melaka. Penduduk
Melaka pada masa itu kehairanan melihat peluru meriam. Bagaimanapun angkatan
Portugis berjaya dikalahkan. Alfonso mahu Melaka diserang lagi tetapi Kapitan
Mor melarang menyerang Melaka selagi Bendahara masih hidup. Alsonso bersumpah
setelah dia turun dari menjadi wizurai , dia akan datang menawan Melaka.
Makhdum Dipersenda Muridnya.
Satu
ketika seorang pendita dari Jeddah telah datang ke Melaka, beliau bernama
Maulana Sadar Jahan. Sultan dan pembesar Melakapun berguru dengannya. Ketika
berada di rumah Bendahara, datanglah Seri Rama. Beliau baru kembali dari
meminum arak di istana. Beliau memang seorang yang kuat minum. Bila tiba di
hadapan Makhdum, Makhdum telah memberitahunya yang “Al-Khamru ummul
al-khabaith” (Arak itu ibu segala najis). Seri Rama pula menjawab “AL-Hamku
ummul Khabaith” (Hamak itu ibu segala najis). Maksudnya dia telah
memperli Makhdum yang dikatakannya datang ke Melaka untuk mencari harta.
Marahlah Makhdum padanya.
Tun
Mai Ulat Bulu juga telah mempersendakan Makhdum. Puncanya dia dikatakan keras
lidah. Sebaliknya Tun Mai Ulat Bulu telah menyuruh Makhdum menyebutkan
perkataan seperti “kunyit, nyiru dan kucing”. Makhdum gagal menyebutnya. Tun
Mai Ulat bulu mengatakan ; begitulah halnya sendiri yang gagal untuk menyebut
huruf-huruf arab.
Bertanya satu masalah agama ke Pasai.
Orang
Kaya Tun Muhammad dititahkan ke Pasai untuk bertanyakan masalah agama tentang
rezeki. Ada pendapat mengatakan ketetapan rezeki adalah sejak azali. Ada pula
mengatakannya tidak. Untuk menjawab masalah itu, raja telah menyuruh Tun Hassan
menyelesaikannya. Jawapan itu dipersetujui oleh Tun Muhammad. Selepas itu
diapun kembali ke Melaka.
BAB 13
TUN
FATIMAH ANAK BENDAHARA SERI MAHARAJA.
Kecantikan
Tun Fatimah diumpamakan laut madu, bertasik susu dan berpantaikan sakar (gula).
Tun Fatimah ditunangkan dengan Tun Ali, anak Seri Nara Diraja, sepupunya. Raja
Di Baruh iaitu bapa saudara Sultan Mahmud menasihatkan supaya perkahwinan
ditangguhkan kerana Tun Fatimah itu sepatutnya ditunjukkan kepada Sultan dulu,
lagipun Permaisuri Tun Teja telah mati. Bendahara tidak endahkan nasihat itu.
Pada hari perkahwinan Sultan datang dan dia sangat tertarik dengan Tun Fatimah
dan menuduh Bendahara sebagai jahat. Sultan berdendam dengan Bendahara.
Kekayaan Bendahara Seri Maharaja.
Bendahara
sangat kaya. Mempunyai simpanan emas sebanyak 6 bahara. Lebih satu bahara dari
kepunyaan Raja Mendaliar, Syahbandar Melaka. Anak-anak cucunya diberikan emas,
jikalau hilang diberinya yang lain. Kerbau pemeliharaannya di Kayu Ara juga
banyak. Jikalau anak buahnya pergi berburu tapi tidak dapat, maka kerbau
dikandang itulah yang disembelih mereka.
Tun Hassan Temenggung Cuba Dibeli.
Semua
orang besar-besar datang ke rumah Ali Manu Nayan, seorang kaya di Melaka.
Mereka semua diberikan hadiah. Hanya Tun Hassan Temenggung saja yang tidak
datang. Ali Manu Nayan pernah menyatakan ; Kiranya Tun Hassan berdiri sahaja di
hadapan kedainya, dia akan memberikan 10 tahil emas.
Punca Mencetuskan Sekejam-Kejam Hukuman.
Nina
Dewa Sura telah bertelingkah dengan Raja Mendaliar. Mereka pergi berhukum pada
Bendahara. Kerana hari telah petang, mereka disuruh datang keesukan harinya.
Malam itu, Nina Sewa Sura telah merasuahkan emas sebanyak sebahara kepada
Bendahara supaya dia menang dalam kesnya dengan Raja Mendaliar. Kitul, seorang
yang ada berhutang dengan Raja Mendaliar telah pergi memberitahu Raja Mendaliar
tentang perihal Nina Dewa Sura itu. Dikatakan Nina Dewa Sura merasuahkan emas
10 kati supaya Bendahara membunuh Raja Mendaliar dan dikatakan bahawa Bendahara
telah bersetuju. Segala hutang Kitul telah dihalalkan. Pada malam itu juga,
Raja Mendaliar telah pergi mengadu kepada Laksamana Khoja Hassan. Dirasuahnya
dengan emas sebahara disamping permata dan kain baju yang indah-indah.
Dikatanya Bendahara mahu merampas takhta kerajaan. Bendahara telahpun menempah
takhta kerajaan, piu dan kaus emas. Kerana termakan pujuk, Laksamana bersedia
memberitahu raja.
Tamat Riwayat Tiga Orang Besar Negara.
Sebaik
menerima aduan Laksamana, Sultan Mahmud telah mengarahkan Tun Sura Diraja dan
Tun Indera Segara pergi membunuh Bendahara. Tun Hassan Temenggung ingin
menentang tapi dihalang oleh Bendahara. Tun Hassan juga mahu membuang peti-peti
emasnya, itupun dihalang oleh Sutan. Bendahara, Seri Nara Diraja, Tun Hassan
Temenggung dan suami serta sepupunya Tun Alipun dibunuh orang. Tun Abdul Karim,
Tun Jenal dan Tun Fatimah tidak dibunuh. Sebaliknya Tun Fatimah dijadikan
isterinya. Bila kahwin, segala harta Bendahara dibawa ke dalam. Raja mendapati
tuduhan yang Raja mahu merampas takhta tidak benar kerana alatan seperti
takhta, piu dan kasut emas tidak ada. Sultan jadi menyesal. Kitul telah disula
dan Raja Mendaliar dibunuh. Harta Laksamana dirampas. Dia tidak dibunuh kerana
Sultan pernah bersumpah mengharamkam darah laksamana.
Bendahara Paduka Tuan (Bendahara Tepok).
Paduka
Tuan iaitu anak Bendahara Paduka Raja telah dilantik menjadi Bendahara. Dia
sudah tua, giginya telah tanggal dan kakipun telah tepok.Bila dinyatakan dia
akan diangkat menjadi Bendahara, dia menolak tapi dipaksakan juga oleh Sultan.
Dia juga dikenali sebagai Bendahara Lubuk Batu. Seorang yang kuat makan dan
bila mahu berjalan sepasu minyak wangi digunakannya.
Tun Biajid sasar.
Dia
adalah anak Bendahara Paduka Tuan. Sasar bahasa. Bila berjalan ke pasar,
diambilnya segala barang yang diperkanannya. Bendahara terpaksa menyuruh
seseorang mengekori Tun Biajid dan membayar harga barangan yang diambilnya. Tun
Biajid telah dihadiahkan seekor gajah oleh ayahnya. Gajah ini selalu dijual
tapi ditebus semula oleh Bendahara. Bila dilihatnya gajah itu diambilnya semula
konon gajah itu adalah gajahnya. Tun Biajid pernah ditambat dan dhantar kepada
Raja untuk dibunuh kerana dia membunuh orang tetapi tidak dilaksanakan oleh
Sultan.
Zuriat bendahara Lubuk Batu.
Anak
Bendahara ramai antaranya ialah Tun Khoja Ahmad atau gelarnya Tun Pikrama dan
Tun Pauh. Anak Tun Khoja Ahmad bernama Tun Isap Berakah, dia menjadi Datuk
Bendahara Johor.
Sultan Mahmud Membuang Kerajaan.
Sejak
diperisterikan Sultan Mahmud, Tun Fatimah tidak pernah senyum. Dia sentiasa
berdukacita. Sultan Mahmud juga sangat menyesal membunuh Bendahara Seri
Maharaja. Sultan Mahmud telah turun takhta dan diserahkan pada anaknya Sultan
Ahmad Syah. Baginda membawa diri ke Kayu Ara dengan ditemani oleh Sang Sura.
Sultan
Ahmad pula tidak kasih akan orang-orang besar. Dia hanya kasih kepada beberapa
orang tertentu sahaja seperti Tun Ali Hati, Tun Mai Ulat Bulu, Tun Muhammad
Unta, Tun Ali Berudu dan Tun Ali Kenyal. Orang-orang muda tiga empat belas
orang dan hamba raja dua tiga puluh orang. Itulah sahaja teman-temannya.
Tun
Fatimah pula bila hamil dibuangkannya. Alasannya kerana pengganti raja telah
ada. Sultan Mahmud berjanji akan merajakan anaknya, barulah kandungan itu
dibelanya. Malangnya Tun Fatimah hanya mendapat anak perempuan iaitu Raja Putih
dan Raja Khatijah. Sultan Mahmud pula asyik belajar tasawuf dengan Makhdum
Sadar Jahan.
BAB 14
DI SAAT AKHIR KESULTANAN MELAYU MELAKA.
Alfonso
d’Albuquerque setelah turun daripada wizurai Goa telah kembali ke Portugal
meminta armada untuk menyerang Melala. Dari Goa dia telah menyerang Melaka
dengan 43 buah kapal. Cubaan pertama Alfonso dapat dipatahkan oleh Sultan
Ahmad. Pada waktu malam, dibacakan Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad
Hanafiah untuk membangkitkan semangat perang. Dalam perang keesukan harinya,
tangan sultan telah terluka.
Sultan
Mahmud, Sultan Ahmad berlepas diri.
Akhirnya
Portugis berjaya menewaskan angkatan Melaka. Sultan Ahmad, Sultan Mahmud lari
meinggalkan Melaka. Pada mulanya ke Muar dan seterusnya ke Pahang dan akhirnya
ke Johor. Di Johor berkota di Pekan Tua dan seterusnya ke Bintan. Perangai
Sultan Ahmad yang tidak menghormati pembesar menyebabkan dia akhirnya disuruh
bunuh oleh Sultan Mahmud. Ditanamkan di Bukit Batu.
Melantik Orang-Orang Besar Kerajaan.
Sultan
Ahmad digantikan dengan Sultan Muzaffar. Sultan Muzaffar masih lagi
kanak-kanak. Tun Khoja Ahmad anak Bendahara Lubuk Batu dijadikan Bendahara
bergelar Paduka Tuan. Tun Abu Ishak dijadiikan Perdana Menteri bergelar Seri
Amar Bangsa. Tun Hamzah anak Seri Nara Diraja dijadikanBendahari.Tun Abdul
Karim dan Tun Jenal juga diberikan gelar. Bila Laksamana Khoja Hasaan mati, dia
ditanamkan di Bukit Pantar dan digantikan pula oleh Hang Nadim.
Anak Raja Bakal Kerajaan.
Bila
Tun Fatimah hamil dan melahirkan anak lelaki, Sultan Mahmud sangat gembira.
Anak itu dinamakan Raja Ali dengan timangannya Raja Kecil Besar. Peterana dan
permaidani Sultan Muzaffar diambil untuk digunakan oleh Raja Ali. Setelah genap
40 hari, acara pertabalan dijalankan. Raja Ali ditabalkan sebagai Sultan
Alaudin Riayat Syah dan digelar juga Sultan Muda.
Tun Ali Hati lebih rela mati.
Semasa
kematian Sultan Ahmad, semua kawan-kawan Sultan Ahmad dikumpulkan oleh Sultan
Mahmud dan mereka diminta taat setia pada Sultan. Semua orang lain datang
kecuali Tun Ali Hati. Dia tidak datang dan minta dibunuh sahaja. Akhirnya dia
dibunuh juga oleh Sultan Mahmud.
Raja Abdullah Ditawan Peringgi.
Raja
Abdullah adalah pemerintah Kampar. Saudara Sultan Mahmud. Bila Sultan Mahmud
kalah, Raja Abdullah cuba berbaik-baik dengan Portugis dengan harapan dia akan
diangkat menjadi sultan yang baru di Melaka. Belaiu telah ditangkap, dibawa ke
Melaka dan seterusnya dibawa ke Goa.
Angkatan Peringgi menyerang Bintan.
Sultan
sangat mengharapkan Temenggung Seri Udani turun berperang menentang Portugis.
Beliau hanya turun bila Portugis sudah di kuala, tanpa mengadap raja dahulu.
Terus ke Kota Kara. Berperang dengan Portugis di situ sehingga mati.
Pusaka Dari Temenggung Seri Udani.
Temenggung
sebenarnya berkecil hati terhadap Sultan kerana tidak memberikannya biaya.
Hartanya yang disuratkan kepada raja hanyalah talam, periuk, belanga, bokor,
pinggan, mangkuk yang telah retak dan sumbing. Budak tiga orang iaitu Si
Berkat, Si Lamat dan Si Tuakal. Bila Sultan membaca surat Temenggung itu dia
tertunduk sedih. Baginda segera menyuruh menghantarkan satu persalinan kepada
Temenggung seperti pakaian anak raja-raja.
Membalas Kasih Raja.
Peringgi
telah mengalahkan kota Kopak. Seri Nara Diraja berjaya membawa Sultan Mahmud
lari. Beliau berjumpa Seri Wak Raja. Dia ikut sama. Diajaknya Seri Wak Raja
membantu Raja dengan menyindir untuk membalas jasa Sultan Mahmud yang telah
membunuh saudara mereka berdua (Bendahara Seri Maha Raja dan Seri Nara Diraja).
Ini membuatkan Sultan bersedih. Untuk mendapatkan makanan, Seri Wak Raja
terpaksa menyamun, mencuri nasi yang sedang ditanak oleh seorang perempuan.
Dari Bintan pindah ke Kampar.
Setelah
Peringgi balik ke Melaka, Sultan dan rombongannya pergi ke Kampar. Di sana
beliau terkejut mendengar berita Raja Abdullah yang ditangkap Portugis itu.
Sultan menduduki istana Raja Abdullah. Malangnya permaisuri telah meninggal
dunia di Kampar. 40 hari Sultan tiada nobat.
Masalah Tiada Mempunyai Putera Lelaki.
Raja
Pahang iaitu Sultan Mansur Syah (Anak Sultan Abdul Jamal) tidak mempunyai anak
lelaki. Satu ketika, Raja Muhamad, raja Terengganu yang berasal dari anak raja
Kelantan telah datang ke Pahang. Dia didudukkan dengan dua pupu Sultan. Dapat
seorang anak lelaki. Dinamai Raja Ahmad dan dijadikan anak angkatnya. Bila
sudah besar, Raja Ahmad dikahwinkan dengan anakanda baginda Raja Puspa Dewi.
Dapat seorang anak dinamakan Raja Omar.
BAB 15
SULTAN MAHMUD MANGKAT DI KAMPAR.
Sultan
Mahmud semasa sakit hendak mati telah mewasiatkan Bendahara menjaga anaknya
Sultan Muda. Sultan Mahmud juga sempat berpesan kepada Sultan Muda supaya :
- · Bersabar.
- · Jangan tinggalkan bendahara dan menteri dalam sebarang urusan.
- · Berlaku adil terhadap rakyat dan tentera.
- · Jangan mudah mendengar fitnah (sembah orang). Siasat dahulu kerana rakyat sangat mengharapkan keadilan dan kemurahan raja.
Setelah
Sultan Mahmud mangkat, Sultan Alaudin pun pindah ke Pahang semula.
Bertapak Semula Di Bumi Semenanjung.
Di Pahang,
Sultan Alaudin telah berkahwin dengan anak Sultan Mansur yang bernama Raja
Kesuma Dewi. Setelah kahwin, mereka pindah pula ke Johor. Dengan diketuai
Laksamana Hang Nadim, merekapun pindah ke Johor.
Berbuat negeri di Johor.
Sultan
Alaudin memerintahkan berbuat kota di Kuala Johor hingga ke Kuala Sungai
Kerting. Laksamana Hang Nadim duduk di Bintan. Sultan mendapat dua orang anak
iaitu Raja Muzaffar dan Raja Fatimah. Kedua-duanya belajar mengaji dengan Tun
Kamal Wangsa.
Surat Meminang Dari Pahang.
Bila
Sultan Pahang mengetahui Sultan Johor telah mendapat anak perempuan, dikirimnya
utusan ke Johor untuk meminang Raja Fatimah untuk Raja Omar. Atas nasihat
Bendahara, peminangan itu diterima.
Hasrat Sultan Pahang tercapai
Seri
Akar Raja dan Seri Nara Wangsa segera balik memberitahu Sultan Pahang akan
kesediaan Sultan Alaudin itu. Mereka juga melapurkan yang kawalan sentiasa
dibuat oleh laksamana terhadap Peringgi. Angkatan Peringgi sentiasa diserang.
Setelah siap, Sultan Pahang berangkat ke Johor bersama Raja Omar. Mereka
diberikan sebuah istana.
Istiadat perkahwinan Diraja Johor-Pahang.
Antara
istiadatnya ialah :
- Menghantar sirih dan emas belanja.
- Pekerjaan berjaga-jaga selama 40 hari. Pelbagai permainan dimainkan.
- Kenduri kerbau, lembu, kambing, itik, ayam disembelih.
- Raja Omar diarak dengan gajah, lengkap dengan segala alat kebesaran kerajaan. Diiringi dengan pelbagai alat muzik seperti gendang, serunai, nafiri, nagara dan madeli.
- Tuan Kadi menikahkan.
- Makan beradap-adapan.
- Jamuan untuk tamu diawasi oleh Temenggung dan para bentara. Bendahara santap satu hidangan seorang diri kecuali boleh ditemani oleh anak raja yang bakal menjadi raja.
Selepas Mangkat Sultan Alaudin.
Tidak
lama selepas perkahwinan Raja Omar-Raja Fatimah, dikahwinkan pula Raja Muzaffar
dengan cucu Bendahara, Tun Emas Jiwa iaitu anak Tun Hassan Temenggung. Kemudian
Sultan Alaudin pun mangkat dan disebut orang Marhum di Johor Lama. Raja
Muzaffar dilantik menjadi raja dengan gelaran Sultan Muzaffar
Syah. Ketika itu baru berusia 19 tahun. Sultan Mansur di Pahangpun
mangkat dan diganti oleh Raja Ismail dan bergelar Sultan Jamal Syah.Setelah
beberapa lama di Johor Lama, Sultan Muzaffar pindah ke Seluyud. Raja Omar pula
menjadi benci pada isterinya yang dari Pahang, iaitu emak Raja Mansor.
Ditalaknya dan dihantar ke rumah Seri Nara Diraja, sebab emak Raja Mansur
adalah saudara Seri Nara Diraja.
Nikah Dalam Sunyi.
Satu
hari Sultan Muzaffar pergi ke rumah Seri Nara Diraja dan dia terpandang pada
emak Si Mansur dan terus jatuh berahi. Setelah muafakat dengan Bendahara dan
Seri Nara Diraja, Sultan Muzaffarpun nikahlah dengan bonda Sultan Mansur secara
senyap-senyap. Bila Bonda Raja Mansur hamil, Seri Nara Diraja memberitahu Raja Omar
dan isterinya raja Fatimah. Kononnya dia takut memeliharakan bonda Raja Mansur
sebab hamil. Raja Omar sendiri menganggap anak itu sebagai anaknya. Jadi raja
Fatimah suruh hantar padanya, biar dia peliharakan. Raja Fatimah sendiri juga
hamil, dapat seorang anak lelaki dinamakan Raja Abdul Jalil. 10 bulan kemudian,
bonda Raja Mansur beranak dan dinamakan Raja Abdullah. Kedua-dua bayi itu
diangkat anak oleh Sultan Muzaffar.
Wasiat Sultan Muzaffar Syah.
Bila
Sultan Muzaffar Syah hendak mangkat diwasiatkan agar Raja Abdul Jalil dijadikan
sultan. Dipangku oleh Bendahara. Ini tidak sukai oleh Raja Omar dan Raja
Fatimah. Raja Abdul Jalil pula sangat erat hubungannya dengan Raja Abdullah.
Rahsia Raja Abdullah sebagai anak Sultan Muzaffar Syah tidak diketahui sesiapa
kecuali Bendahara dan Seri Nara Diraja sahaja.
Wasiat Sultan Abdul Jalil Diketepi.
Raja
Abdul Jalil setelah berusia 9 tahun telah jatuh sakit dan meninggal dunia.
Sebelum mati baginda sempat mewasiatkan agar takhta diperturunkan kepada Raja
Abdullah. Ianya dibantah oleh emaknya, Raja Fatimah tetapi tidak diendahkan.
Bila Raja Abdullah hendak dinobatkan Raja Fatimah mengancam mahu melarikan
diri. Ini menyebabkan Bendahara terpaksa tunduk kepada permintaannya. Dia juga
takut dianggap mahu berkuasa, memangku raja. Raja Omar dinobatkan dengan
gelaran Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Ri’ayat Syah. Terlalu kasihkan pula pada
bendahara.
Tun Seri Lanang jadi Bendahara.
Bendahara
Paduka Raja gering dan meninggal dunia. Tun Seri Lanang pula diangkat menjadi
bendahara. Bergelar Bendahara Paduka Raja juga. Sultan Ala Jalla Abdul Jalil
pindah pula dari Seluyud ke Tanah Putih atau Batu Sawar. Diserang oleh Portugis
tapi tidak dapat dikalahkan. Malangnya ramai orang sakit dan mati di
Tanah Putih. Pindah pula ke hulu Sungai Damar atau makam Tauhid. 2
kali Portugis menyerang. Negeri Makam Tauhid tidak dapat
dikalahkan. Bila Laksmaana Hang Nadim mati, dia digantikan
oleh orang besar Cempa. Raja fatimah juga mangkat dan dikebumikan di Seluyud bersama
kuburan kekandanya Sultan Muzaffar Syah. Selang setahun kemudian suaminya pula
meninggal. Sultan Ala Jalla Abdul Jalil dimakamkan di Batu. Raja Abdullah
hendak dinobatkan tetapi baginda menolak. Bagaimanapun oleh kerana Raja Mangsur
cuai menjalankan tugas, Raja Abdullah terpaksa menjalankan tugas sultan. Raja
Mangsur sekali lagi mahu pindah ke Hulu Kuala Sungai Riun iaitu di Pasir Raja.
Salam,blog yang menarik dan maklumat yang padat. Dengan adanya maklumat bahagian peristiwa penting ini membolehkan saya memahami lebih mendalam tentang Sulalatus Salatin.
ReplyDeleteterima kasih sudi melawat blog kami.. semoga ilmu yg kami kongsi bermanfaat utk anda..
Deleteblog yang menarik dan padat dengan informasi yang berguna tentang sejarah melayu
ReplyDeleteterima kasih melawat blog kami... semoga ilmu yang kami kongsi bermanfaat untuk anda..
Delete