Sunday, May 27, 2018

SUDUT GAYA BAHASA DAN STRUKTUR PENULISAN






SUDUT GAYA BAHASA DAN STRUKTUR PENULISAN

Mengenai gaya bahasa atau stail penulisan Sulaltus Salatin, Yusoff Iskandar berpendapat, “Gaya bahasa Melayu yang indah dan menarik. Sulaltus Salatin dapat memperlihatkan ketinggian darjah  dan mutu bahasa Melayu klasik…sintaksis Melayu yang terdapat dalam susunan dan kalimat ayatnya tidak terpengaruh kepada pola sintaksis bahasa asing. Walaupun di sana sini pengaruh bahasa Arab terutamanya struktur penulisannya amat jelas kelihatan . Identiti dan nilai kemelayuannya tetap terpelihara.” (Yusoff Iskandar dan Abdul Rahman Kaeh, Sejarah Melayu, Satu Perbincangan Kritis dari Pelbagai Bidang, hlmn 232)

Struktur Penulisan Sulalatus Salatin


  1.           
TERPENGARUH DENGAN STRUKTUR PENULISAN ARAB-PARSI

Pengaruh ini jelas dari segi adanya :

                                 i.            Mukadimah : Dimulai dengan :
Bismillahir-rahmanir-rahim
Alhamdulillahi Rabbil alamin allazi la ila ha illa huwa wa kana fil awwali wala syaiaa ma’ahu. Segala puji-pujian bagi Allah, yang tiada Tuhan hanya la, dan adalah la pada azal, tiada sesuatu jua pun serta-Nya…(SS,hlmn 1)

Dalam mukadimah disertakan ayat-ayat Al-Quran dan diikuti pula dengan terjemahan dalam bahasa Melayu. Struktur penulisan seperti ini adalah teknik yang biasa dalam karya-karya Arab-Parsi.
                               ii.            Pada tiap-tiap akhir cetera, pengarang akhiri dengan ayat :
Wa’llahu a’lamu bi ‘s-sawab, wa ilahi ‘l-marji’u wa ‘l-ma’ab.
Hanya pada akhir Cetera ke 34 sahaja diakhiri dengan ayat :
Wa’llahu a’lam

        2.
UNSUR-UNSUR PENGARUH BAHASA JAWA

Bahasa Jawa digunakan terutama apabila melibatkan dengan watak yang terdiri daripada orang-orang Jawa. Penggunaan bahasa Jawa pada watak-watak yang berkenaan memberi kesan yang mendalam atau kesan yang begitu “real” bukan sahaja dari segi percakapan watak, juga dari segi peristiwa. Peristiwa yang diceritakan begitu hidup, walaupun pengarang menulis dalam bahasa Jawa, namun kita boleh mengerti makna percakapan tersebut kerana dimasukkan sekali maksudnya dalam bahasa Melayu.

·         Episod Patih Adam menculik Tun Minda. Orang-orang Patih Adam memberitahu :
Maka segala anak periai itu pun melawan, habis mati dibunuh orang ; serta mati seorang diberitahu oleh penakawannya pada Patih Adam, “Pangeran, si anu sampun pejah”.
Maka sahut Patih Adam, “Dendamene,” ertinya “Biarlah”.
Dengan demikian keempatpuluhnya habis mati dibunuh orang. Maka diberitahu oleh penakawannya pada Patih Adam, katanya, “Punapa karsa andeka dening peria’i punika kabeh sampun pejah”.
Maka sahut Patih Adam, “Dendamene kang sampun pejah ingsun putera dalem ikabela nanging peratu”. Ertinya, “Biarnyalah habis mati semuanya, akan aku anak orang besar ini pun bela aku padalah”. (SS, Cetera X, hlmn 212)

         3.
PENGGUNAAN PUISI MELAYU TRADISI

Walaupun Sulalatus Salatin merupakan sebuah karangan yang berbentuk naratif (prosa), namun pengarang memasukkan juga unsur-unsur sastera yang bercorak non-naratif (puisi). Rangkap-rangkap puisi yang dimasukkan pada beberapa tempat yang tertentu sewaktu menceritakan sesuatu peristiwa berhasil memberi kesan yang lebih mendalam serta berjaya menjelaskan gambaran peristiwa atau watak yang hendak ditonjolkan.

Jenis-jenis puisi yang biasa digunakan ialah pantun, gurindam, dan peribahasa.

a.      Teluk itik dari Singgora,
Pandan tersandar di batang tui ;
Darahnya titik di Singapura,
Badan terhantar di Lengkawi.
(Sulalatus Salatin, Cetera IV , hlmn 68)

Pantun ini dinyanyikan orang berkait dengan pembunuhan Tuan Jana Khatib. Ketika dibunuh, hanya darahnya sahaja titik di bumi sedangkan badannya ghaib. Dan diceritakan orang, badan Tuan Jana Khatib terhantar di Lengkawi dan ditanamkan di sana.

b.      Carek baju dilompati todak,
Baharu menurut kata budak.
(Sulalatus Salatin, Cetera IV , hlmn 68)

Berkait dengan episod serangan todak ke atas Singapura. Serangan todak menyebabkan ramai rakyat Singapura terkorban kerana awalnya raja menitahkan rakyat berkubukan betis. Seorang budak menyarankan agar berkubukan batang pisang, apabila todak melompat, jongornya melekat pada batang pisang. Lompatan todak amat deras. Sulalatus Salatin menceritakan :
“Pada suatu ceritera pada masa todak itu melompat, datang ke atas gajah Paduka Seri Maharaja, kena baju baginda; maka diperbuat orang seloka”.
(Sulalatus Salatin, Cetera IV , hlmn 68)

          4.
PENGGUNAAN BAHASA KIASAN

Bahasa kiasan banyak digunakan oleh pengarang Sulalatus Salatin sama ada untuk menerangkan dengan lebih jelas sifat-sifat watak, atau lebih-lebih lagi sering digunakan dalam memberi gambaran mengenai sesuatu peristiwa.

                Bahasa kiasan ialah “bahasa imaginatif yang membawa maksud lain daripada apa yang tertulis. Bahasa ini timbul apabila fikiran menghubungkaitkan sesuatu dengan yang lain, iaitu mungkin kerana dalam keadaan berhubung dengan pengalaman yang umum ; bertentangan dengan sesuatu, atau bersamaan dengan sesuatu hal. Dari situasi pertama mungkin terlahir bahasa kiasan : “Kita dapat merasai nasi dari hasil titik peluh para petani.” Dari situasi kedua : “Ratap tangis yang boleh merobohkan langit”,  dan dari situasi ketiga : “Dia kurus macam lidi.” (Hashim Awang,, Glosari Mini Kesusasteraan, 1987, hlmn 9)

Dari itu bahasa kiasan mempunyai dua bentuk iaitu :

a)      Bahasa kiasan yang mengandungi makna kiasan, misalnya “hidungnya mancung bagai ditaji”. Mancungnya hidung dikiaskan atau dibandingkan dengan taji (tajam).

b)      Bahasa kiasan yang mengandungi makna lurus atau makna sebagaimana yang tertulis, misalnya “sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain”.

Contoh dan Huraian Penggunaan Bahasa Kiasan
Simile
·         Maka rupa senjata seperti hujan yang lebat ; jikalau guruh di langit sekalipun tiada kedengaran daripada sangat tempik segala hulubalang, gemerincing bunyi segala senjata juga kedengaran. Maka lebu duli pun berbangkit ke udara, siang cuaca menjadi kelam-kabutlah seperti gerhana matahari. (Sulalatus Salatin, Cetera 1, hlmn 10)

Perhatikan ayat di atas, iaitu bagaimana rupa senjata yang begitu banyak dibandingkan dengan keadaan hujan lebat. Kemungkinan senjata yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah lembing. Rupa bentuk lembing yang panjang dengan bilangan yang begitu banyak disamakan dengan rupa air hujan  yang turun ke bumi dengan lebatnya. Begitu juga dengan tempat orang-orang bertempur yang dipenuhi dengan debu berterbangan, suara hingar-bingar, suasana udara menjadi kelam disamakan atau dibandingkan dengan keadaan cuaca yang suram dan kelam ketika berlakunya gerhana matahari.




4 comments:

  1. jutaan terima kasih diatas perkongsian ilmu yang diberikan. perkongsian tentang sejarah yang baik dan bermakna untuk pengetahuan saya dan orang lain terutamanya di bulan yang mulia ini. semoga amal dapat ditingkatkan di bulan ramadhan ini dan banyak2 berzikir supaya tidak lalai dengan sandiwara dunia. sekian tazkirah untuk hari ini. trima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih melawat blog kami... semoga ilmu yang kami kongsi bermanfaat untuk anda..

      Delete
  2. Terima kasih atas bahan pengajaran yang dikongsikan oleh pemilik blog 😊 Sangat memberi motivasi dan ilmu tentang sejarah Melayu terutamanya sejarah tokoh-tokoh yang sudah semestinya kita perlu ingat sampai selama-lamanya.

    ReplyDelete