Tuesday, May 29, 2018

NILAI MASYARAKAT


NILAI MASYARAKAT POSITIF DALAM SULALATUS SALATIN



















ADIL DAN BIJAKSANA

Sulalatus salatin menyebut dengan jelas tentang beberapa orang raja dan pembesar Melaka yang mentadbir Melaka dengan penuh sifat-sifat adil dan bijaksana. Mereka mengutamakan tanggungjawab dan amanah sebagai ketua negara bagi menjamin kehidupan rakyat dalam aman dan damai.

Antara Sultan Melaka yang memiliki sifat adil dan saksama ialah :

I) Sultan Mansur Syah. Sulalatus Salatin menyebut tentang sifat baginda sebagai:

“ .. terlalu baik parasnya, serta dengan adilnya lagi murah; seorang pun raja-raja di dalam alam ini tiada sepertinya pada zaman itu..”

II) Sultan Alau’d-Din Riayat Syah juga terkenal sebagai seorang Sultan yang adil dan bertanggungjawab. Baginda sanggup menyamar sebagai rakyat biasa bagi mengetahui sendiri tentang kawalan keselamatan yang dilakukan oleh pembesar-pembesar negeri dengan tujuan mengatasi masalah kecurian di Melaka.

III) Raja Kecil Besar juga seorang pemerintah yang digambarkan sebagai:

“Terlalulah adil saksama baginda pada memeliharakan segala rakyat, seorang pun tiada raja-raja dalam alam ini sepertinya pada zaman itu, lagi dengan murahnya.”















BERBUDI BAHASA

Sifat dan kelakuan berbudi bahasa juga merupakan salah satu sifat yang amat mulia. Bendahara Paduka Raja terkenal sebagai seorang yang berbudi bahasa tinggi. Walaupun ia mengetahui Laksamana memburuk-burukkan peribadinya kerana enggan menolong Sultan Zainal Abidin di Pasai bagi kali keduanya ( kerana Sultan Pasai itu enggan mengirim “sembah” pada Raja Melaka ) , Bendahara Paduka Raja tetap memuji-muji kebaikkan peribadi Laksamana sewaktu berada di Pasai. Laksamana datang memohon maaf dan sujud di kaki Bendahara Paduka Raja. Sekali lagi Bendahara Paduka Raja memaafkan Laksamana:

“ maka laksamana pun datang lalu meniarap, menyembah kaki Bendahara Paduka Raja. Maka sembah Laksamana “Sesungguhnya tuanku sedia asal Orang Besar-besar, Penghulu pada sahaya semua.”



BERJASA DAN BERBAKTI

Dalam konteks pemerintahan feudal raja memiliki kuasa mutlak. Rakyat dan pembesar akan memberi tumpuan dan menumpahkan sepenuh taat setia serta berbakti kepada raja. Sebagai pembalasan dan rasa penghargaan di atas jasa bakti yang dicurahkan, sultan akan memberi anugerah atau kurnia sama ada dalam bentuk persalinan, barang-barang berharga seperti emas, permata atau kurniaan pangkat kebesaran dan gelaran -gelaran tertentu.


I) Jasa bakti Tun Perak sewaktu seangkatan Siam menyerang Melaka. Tun Perak memegang jawatan sebagai penghulu orang-orang Kelang. Kejayaan Tun Perak menyekat kemaraan Siam serta serangan Siam hingga menyelematkan Melaka tanpa pertumpahan darah telah mendapat pengiktirafan yang tinggi daripada Sultan Muzaffar Syah. Tun Perak dilantik sebagai Perdana Menteri dengan gelaran Paduka Raja.

Jika mengikut adat dan peraturan Melaka, Tun Peraklah yang sepatutnya menduduki jawatan sebagai Bendahara Melaka setelah ayahandanya Bendahara Seri Wak Raja mati (minum racun) tetapi pleh kerana Seri Nara Diraja sangat berpengaruh ( jasanya menaikkan Sultan Muzaffar Syah di atas takhta) maka jawatan Bendahara dipegang oleh Seri Nara Diraja.

Tun Perak seolah-olah membawa diri ke Kelang dan dilantik sebagai Penghulu Kelang. Sebagai seorang anak pembesar, darah pembesar tetap mengalir dalam diri Tun Perak. Kewibawaan beliau sebagai tokoh pemimpin yang berkaliber tetap terserlah. Beliau tidak pernah “merajuk” dalam melaksanakan tugas dan berbakti kepada Melaka walaupun ia tersingkir daripada jawatan yang menjadi yang menjadi “haknya”. Ini jelas apabila raja mengerahkan seluruh pahlawan daripada segenap pelosok negeri berkumpul di Melaka bagi menghadapi serangan Siam.

II) Jasa bukti Hang Tuah setelah berjaya membunuh Hang Jebat. Hang Tuah adalah seorang panglima yang sangat berjasa. Jasa bakti yang pernah dicurahkan kepada rajanya tidak pernah mengenal erti keperitan, Sungguhpun beliau telah diperlakukan secara tidak adil oleh Raja Melaka, namun sebagai hamba Melayu yang taat dan berpegang teguh pada konsep “pantang melayu menderhaka kepada rajanya”, Hang tuah tetap berjasa dan melaksanakan segala titak raja. Dia sanggup membunuh sahabat karib yang telah dianggap sebagai saudara sendiri demi berbakti pada rajanya, sungguhpun Hang Jebat menderhaka kerana membela kematiannya. Jasa bakti Hang Tuah mengembalikan maruah Sultan Mansur Syah telah mendapar penghargaan daripada Sultan. Sulalatus Salatin mencatatkan :
“maka terlalu sukacita baginda. Maka segala pakaian yang dipakai baginda itu semuanya dianugerahkan kepada Hang Tuah.. Telah itu Hang Tuah dilekatkan gelar “Laksamana” itu, dan diarak keliling negeri, seperti adat anak raja-raja, didudukkan tara Seri Bija Diraja”.

III) Jasa bakti Tun Telanai dan Menteri Jana Putera serta utusan Melaka yang pergi ke Siam kerana berhasil menjalinkan hubungan baik antara Melaka dengan Siam mendapat penghargaan Sultan:
“maka baginda pun terlalu sukacita, serta memberi nugerahi persalin Tun Telanai dan Menteri jana Putera dan segala utusan Siam itu”

SIFAT BERTIMBANG RASA ATAU DIPLOMASI

Sifat ini juga sangat jelas dalam beberapa tindakan yang dibuat terutamanya oleh pihak pemerintah yang menentukan sesuatu dasar atau tindakan. Dengan wujudnya sifat kemanusiaan yang murni ini , beberapa perkara buruk yang yang melibatkan kemusnahan dapat dihindari.

I) Raja Iskandar Zul- Karnain sewaktu menyerang negeri Hindi telah berjaya menawan negeri tersebut. Raja KIda Hindi telah diislamkan dan dijadikan isterinya. Tindakan Raja Iskandar jelas mengandungi nilai-nilai kemanusiaan yang sangat mulia kerana pada kebiasaannya dalam peperangan , negeri yang kalah bermakna rajanya terpaksa turun takhta. Tetapi kerana kemanusiaan, Raja Iskandar terus “membenarkan” Raja Kida Hindi memerintah dan membimbing baginda kepada agama yang diredai.

II) Keputusan yang dibuat oleh Sultan Muzaffar Syah menceraikan isteri kesayangannya Tun Kudu adalah suatu tindakan yang amat diplomasi bagi menyelesaikan persengketaan dua orang pembesar yang berpengaruh di Melaka waktu itu. Sifat timbang rasa Sultan sekali gus mengorbankan kepentingan diri demi untuk keuntuhan kerajaan di bawah pemerintahannya itu telah membawa suatu kejayaan yang amat besar dalam kestabilan politik Melaka seterusnya kerana hasl daripada sifat bagindalah telah mententeramkan pergolakkan dalaman yang seterusnya memberi kekuatan dan kesatuan di kalangan pembesar dan pengikut dari kedua belak pihak ( Pihak Tun Perak dan pihak Seri Nara Diraja). malah dengan keputusan yang penuh diplomasi itu juga telah memberi “laluan” kepada seorang tokoh pembesar yang sangat berkaliber iaitu Tun Perak untuk menduduki tempat bendahara. Dan ini jelas terbukti daripada peranan yang disumbangkan oleh Bendahara Paduka Raja Tun Perak sewaktu memegang jawatan tersebut.

III) Sultan Alau’d- Din Riayat Syah adalah terkenal dengan sifat-sifat adil dalam membuat keputusan yang wajar demi untuk menjaga keamanan Melaka. Dengan tindakan baginda, telah memberi keselesaaan kepada kehidupan rakyat. Tindakannya telah memberi kesedaran kepada pembesar-pembesar negeri yang bertanggungjawab dalam soal-soal keselamatan untuk bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh bagi mengembalikan keamanan dan menjamin keadaan aman berpanjangan dengan menguatkuasakan undang-undang dan hukuman. Tindakan yang tegas dan peraturan yang sistematik telah dilaksanakan pada masa pemerintahan Sultan Alau’d-Din Riayat Syah bagi menjamin raja-raja di negeri jajahan Melaka tidak menggunakan kuasa secara berleluasa serta bagi memastikan raja-raja itu melaksanakan pemerintahan dengan penuh keadilan dan saksama.

Iv) Sultan Mahmud Syah walaupun terkenal sebagai seorang raja yang kejam dan tidak berperikemanusiaan, namun ketika usianya semakin meningkat tua, dengan pengalaman yang semakin luas , baginda boleh membuat pertimbangan yang lebih wajar. Di waktu usianya semakin bertambah, baginda telah insaf dan timbul kesedaran bahawa sesuatu tindakan atau keputusan yang akan dibuat seharusnya mendapat persetujuan hasil daripada muafakat dan perbincangan dengan pembesar-pembesar yang lebih tua, lebih berpengalaman . sebab itulah apabila mengetahui bahawa anakandanya Raja Ahmad mengetepikan menteri-menteri yang tua, Sultan Mahmud bertindak membunuh anakandanya. Baginda juga amat menyesal dengan keterlanjuran membunuh Bendahara Seri Maharaja dan keluarga yang ternyata tidak berdosa. Sebagai tanda penyesalannya, baginda turun dari takhta dan menghabiskan sisa-sisa hidup dengan berkhalwat di Hulu Merdeka.
MEMBERI NASIHAT DAN PENGAJARAN

Wasiat Sultan Alau’d-Din Riayat Syah kepada pembesar negeri ;
“ketahui oleh segala tuan-tuan sekalian, bahawa umur kita telah pautlah, ajal kita pun hampirlah rasanya. Adapun jikalau sudah kita mati, bahawa anak kita Si Mamadiah rajakan oleh Bendahara dengan segala orang kaya-kaya sekalian akan ganti kita; hendaklah sangat-sangat pelihara kamu akan dia, kerana ia kanak-kanak. Seperti mana kasih tuan-tuan semua akan kita , demikianlah kasih tuan hamba sekalaian akan dia ; jikalau barang suatu khilaf bebalnya; sangat-sangat maaf tuan-tuan sekalian dan tegur ajari dia, tuan hamba tilik kepada kanak-kananknya.”

Wasiat pada Raja Mamad (Sultan Mahmud Syah)
“ hendaklah banyak-banyak sabar, dan ampunmu akan segala hamba sahayamu, dan baik-baik memelihara akan dia,……. jikalau datang kepada dua pekerjaan Allah, dan suatu pekerjaan Allah daripada perkataan dunia. “ Hendaklah engkau sangat-sangat menyerahkan dirimu ke hadrat Allah Taala yang akan memelihara akan kamu , kerana wa man yatawakkal ‘ala’llah. Dan segala anak Melayu bagaimanapun besar  dosanya, jangan olehmu diaifi dia , dan sampai kepada hukum syarak dosanya derhaka, bunuhlah; kerana segala Melayu itu ketanahmu,…. jikalau engkau bunuh ia tiada dengan dosanya, bahawa kerajaanmu binasa. Hei anakku, hendaklah engkau turut dan engkau ingatkan wasiatku ini, dan engkau kerjakan, supaya berkat diberi Allah subha nahu wa taala..”


KEIMANAN DAN KETAKWAAN

I) Raja dan pembesar Melaka menuntut ilmu agama daripada guru-guru agama yang dari Jedah . Sultan Mahmud dan Bendahara Seri Maharaja pernah belajar agama pada Makhdum Sadar Jahan

II) Kerajaan Melaka semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah telah melaksanakan hukuman mengikut Islam iaitu hukuman potong tangan kepada mereka yang melakukan kesalahan mencuri.

III) Raja-raja Melaka memerintah dengan penuh adil dan saksama sebagai suatu tuntutan sifat-sifat yang mulia dan terpuji di sisi agama Islam.




NILAI MASYARAKAT NEGATIF  DALAM SULALATUS SALATIN

KEKEJAMAN DAN KEGANASAN

I) Pertempuran yang berlaku antara angkatan Raja Suran dan Angkatan Raja Chulan
“ .. segala orang yang bergaja berjuangkan gajahnya dan segala yang berkuda bergigitkan kudanya, segala yang memegang panah berpanah-panahan, segala yang berlembing bertikamkan lembing , segala yang bertombak beradakkan tombaknya, segala yang berpedang, bertetakkan pedaangnya. Maka rupa senjata seperti hujan yang lebat; jikalay guruh di langit sekalipun tiada kedengaran daripada sangat tempit segala hulubalang , gemerincing bunyi segala senjata juga kedengaran . maka lebu duli pun berbangkit ke udara, siang cuaca menjadi kelam-kabutlah seperti gerhana matahar . maka sekalian rakyat pun jadi campur-baurlah , tiada berkenalan waktu berperang itu. Berapa yang mengamok diamoki orang pula, ada yang menikam ditikam orang pula, maka ada pula yang bertikam samanya kawannya”

II) Peristiwa Sidi Asma Yaumi’d-Din dijatuhkan hukuman dipenggal kepala kerana keengganannya berpisah dengan Sultan Maliku ‘l- Mansur.
(sulalatus salatin , halaman 64)

III) Peristiwa pertikaman Hang Tuah dengan Hang Jebat.
(sulalatus salatin, halaman 142)

IV) Peristiwa hukuman sula sampai mati.


SIFAT DENDAM

I) Dendam Sultan Mahmud Syah pada Seri Bija Diraja. Ketika Sultan Mahmud ditabalkan sebagai Sultan Melaka, Seri Bija Diraja berada di Singapura. Apabila ia datang menghadap ke Melaka, Bendahara memberitahu kepada Seri Bija Diraja:
“orang kaya, Yang Dipertuanlah amanat marhum akan ganti baginda kerajaan.”
Maka sahut Seri Bija Diraja , “Beta tiada mendengar amanat marhum.”
Setelah didengar Sultan Mahmud Syah kata Seri Bija Diraja itu, maka baginda diam. Pada hati baginda, “tiada suka Seri Bija Diraja ini bertuankan aku .”

II) Dendam Sultan Mahmud Syah pada Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir kerana tidak menunjukkan Tun Fatimah terlebih dahulu kepada baginda sebelum dikahwinkan dengan Tun Ali.
(sulalatus salatin, halaman 251)

III) Dendam Sultan Maliku’t -Tahir pada saudaranya Sultan Maliku’l-Mansur disebabkan kesilapan Sultan Maliku ‘l Mansur mengambil salah seorang dayang istananya tanpa kebenaran.
(sulalatus salatin, halaman 63)


SIFAT IRI HATI DAN DENGKI DENGAN KELEBIHAN ORANG LAIN

I) Serangan Majapahit ke atas Singapura adalah berpunca daripada perasaan dengki Betara Majapahit kepada Singapura setelah Singapura membangun sebagai sebuah kerajaan yang besar.

II) Raja Syahru’n Nuwi menaruh perasaan iri hati dan dengki terhadap kejayaan Pasai membangun sebagai sebuah kerajaan yang besar.

III) Dalam sejarah kerajaan Melayu Melaka iaitu pada masa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah, Siam juga menghantar angkatan perangnya menyerang Melaka dengan tujuan untuk menakluki negeri itu dan meletakkan Melaka di bawah naungan kekuasaannya. Kerajaan Siam merasa iri hati dan dengki kerana Melaka mulai wujud sebagai sebuah kerajaan yang terkenal dan akan menggugat kemasyhuran Siam.


SIFAT CEMBURU

I) Pembunuhan Tuan Jana Khatib semasa pemerintahan Paduka Seri Maharaja, zaman kerajaan Singapura, adalah disebabkan oleh rasa cemburu membabi-buta. Ketika Tuan Jana Khatib lalu di hadapan istana, Raja Perempuan berada di pintu peranginan. Tuan Jana Khatib menunjukkan keahliannnya dalam menilik pohon pinang gading hingga pohon pinang itu terbelah dua. Kejadian ini dilihat oleh Paduka Seri Maharaja . Timbul rasa cemburu kerana menggangap perbuatan Tuan Jana Khatib cuba menarik perhatian Raja Perempuan. Tun Jana Khatib disuruh bunuh.

II) Perasaan cemburu gundik-gundik Raja Iskandar zaman kerajaan Singapura terhadap gundik kesayangan raja iaitu anak kepada Sang Rajuna Tapa.

III) Sultan Mahmud Syah, cemburu kepada saudaranya sendiri iaitu Raja Zainal kerana digilai oleh perempuan.



MENYEBARKAN FITNAH

I) Fitnah yang dibawa oleh Raja Mendaliar, Kitul dan Laksamana Khoja Hassan yang terlibat menyampaikan berita kepada Sultan Mahmud bahawa Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir hendak menderhaka.

II) Fitnah pembesar negeri yang menaruh perasaan dengki dan cemburu kepada kebolehan dan keistimewaan yang diberikan oleh Sultan Mansur Syah pada Hang Tuah.

III) Fitnah gundik-gundik yang menaruh perasaan cemburu dan iri hati pada gundik Raja Iskandar, anak kepada Sang Rajuna Tapa.


KEKEJAMAN LAIN


I) Pembunuhan Tun Besar oleh Raja Muhammad. Kesalahan Tun Besar bukanlah disengajakan. Ketika Tun Besar sedang bermain sepak raga, Raja Muhammad melintas. Bola yang disepak oleh Tun Besar terkena destar Raja Muhammad. Dalam keadaan marah, Raja Muhammad terus membunuh Tun Besar. Begitu mudah membunuh nyawa manusia hanya kerana kesalahan yang sedemikan kecil, lebih-lebih lagi kesalahan itu tidak disengajakan.

II) Hukuman bunuh ke atas budak cerdik yang berjasa menyelamatkan Singapura daripada serangan todak. Idea budak ini agar rakyat berkubukan batang pisang bagi menahan serangan tidak berhasil menyelamatkan Singapura. Namun jasa baktinya dibalas dengan kekejaman. Pembesar negeri bimbang budak yang cerdik ini akan mengancam kedudukan mereka apabila besar nanti. Sebab itulah budak itu harus dibunuh,

III)Tindakan kejam Sultan Mahmud terhadap Sultan Abdul Jamal Pahang. Sultan Mahmud sanggup mengampunkan dosa Hang Nadim kerana berjaya membawa lari Tun Teja. Perbuatan Raja Melaka adalah kejam kerana Tun Teja sudah bertunang dengan Raja Pahang. Bukan setakat itu sahaja, gajah kesayangan yang menjadi tunggangan Raja Pahang juga turut dicuri. Semua perbuatan ini di luar pertimbangan kemanusiaan. Sudahlah dengan tunangan orang dibawa lari, gajah kesayangan pula dicuri. Raja Meaka langsung tidak menghiraukan perasaan orang lain sedangkan Raja Pahang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Raja Melaka.



No comments:

Post a Comment